ZOOTOPIA 2 terus meluncur ke puncak carta box office global dengan rekod US$556 juta (RM2.2 bilion) pada hujung minggu pembukaannya.
Pencapaian ini menjadikannya debut global tertinggi tahun 2025, pembukaan global keempat tertinggi sepanjang zaman, dan pembukaan global tertinggi bagi mana-mana filem animasi dalam sejarah Disney.
Di Asia Tenggara, filem ini mencatatkan kutipan lebih $8 juta (RM33 juta) setakat ini, dengan Malaysia ($2 juta/RM8.26 juta) dan Thailand ($1.7 juta/ RM7.03 juta) mengetuai pencapaian serantau. Filem ini dibuka pada kedudukan All Industry No.1 di Malaysia, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Rachel Fong, Executive Director dan Studio General Manager, The Walt Disney Company Southeast Asia, meluahkan rasa teruja dengan kejayaan Zootopia 2 di seluruh Asia Tenggara.
"Jika Zootopia menunjukkan bahawa apa sahaja boleh dicapai apabila kita percaya pada diri sendiri, Zootopia 2 menekankan pentingnya komuniti dan apa yang kita boleh capai bersama apabila kita mengatasi perbezaan.
"Kami berbangga dapat menyampaikan mesej ini kepada peminat di seluruh rantau, daripada menjemput komuniti tempatan untuk menyertai bas sekolah bertema Zootopia di Filipina, pengalaman city-hopping melalui empat stesen MRT berbeza di Indonesia, hingga meraikan kepelbagaian suara melalui kempen sosial bersama bintang dubbing tempatan di Thailand,” katanya.
Pengalaman Zootopia 2 di Malaysia
Sehingga 7 Disember, peminat dijemput untuk menyelami pengalaman menyeronokkan di downtown Zootopia yang dibawa ke Sunway Pyramid. Terdapat juga spot fotografi menarik dan ruang pawagam bertema Zootopia 2 di pusat beli-belah lain, membolehkan pengunjung merakam momen seronok bersama watak kegemaran mereka di setiap sudut.
Filem terbitan Walt Disney Animation Studios ini mengisahkan pegawai polis baharu Judy Hopps (Ginnifer Goodwin) dan Nick Wilde (Jason Bateman) menyelami laluan misteri yang penuh liku apabila Gary De’Snake (Ke Huy Quan) tiba di Zootopia dan menggoncang metropolis haiwan itu.
Untuk menyelesaikan kes, Judy dan Nick terpaksa menyamar ke kawasan baharu yang tidak dijangka, di mana kerjasama mereka diuji seperti tidak pernah sebelumnya.
Naskhah arahan Jared Bush dan Byron Howard ini turut menampilkan suara Fortune Feimster, Andy Samberg, Idris Elba, Patrick Warburton, Quinta Brunson, Nate Torrence, dan Shakira yang kembali sebagai Gazelle.
Zootopia 2 juga menjadi tarikan utama bagi musim percutian menjelang Avatar: Fire & Ash pada 18 Disember depan, sekali gus membentuk kombinasi hebat untuk menutup tahun bagi Disney. Tonton Zootopia 2 secara eksklusif di pawagam hari ini. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments