BINTANG Bollywood terkenal, Shah Rukh Khan dan Kajol kembali mencipta sejarah apabila kedua-duanya hadir ke London untuk merasmikan sebuah arca gangsa yang mengabadikan watak ikonik mereka dalam filem Dilwale Dulhania Le Jayenge (DDLJ).
Pelancaran arca itu diadakan sempena ulang tahun ke-30 filem terbitan Yash Raj Films yang menjadi fenomena global sejak tayangannya pada 1995.
Arca tersebut menampilkan Raj dan Simran, watak yang dijayakan Shah Rukh Khan dan Kajol dalam salah satu 'pose' paling ikonik yang dikenali peminat.
Instalasi itu kini menghiasi Leicester Square sebagai sebahagian daripada laluan Scenes in the Square, menjadikan DDLJ filem India pertama menerima penghormatan tersebut. Ia turut berdiri sebaris dengan arca watak-watak legenda filem seperti Harry Potter, Mary Poppins, Paddington dan Singin’ in the Rain.
Bercakap pada acara itu, Shah Rukh Khan, 60, berkata, DDLJ adalah karya yang lahir daripada hati dan bukan sekadar kisah cinta biasa, merentasi generasi yang menghubungkan hati penonton dan menyebarkan inspirasi melalui kuasa kasih sayang.
“Kami mahu berkongsi kisah tentang cinta, tentang bagaimana ia meruntuhkan batasan, dan bagaimana dunia akan jadi lebih indah jika dipenuhi kasih sayang.
"Mungkin itulah sebabnya filem ini terus hidup dalam ingatan selama lebih tiga dekad. Bagi saya secara peribadi, DDLJ sudah menjadi sebahagian daripada identiti diri saya, dan menerima kasih sayang sebesar ini amat mengharukan,” katanya.
Kajol, 51, pula menyifatkan detik perasmian arca itu sebagai pengalaman yang menghidupkan kembali memori mereka.
“Melihat arca itu dipertonton di London seakan menghidupkan kembali detik-detik awal kami. Kisah ini benar-benar merentasi generasi, dan masih diraikan sehingga hari ini,” katanya yang juga ibu kepada dua cahayamata.
Leicester Square sendiri mempunyai kepentingan dalam naratif filem tersebut. Dalam babak awal DDLJ, Raj dan Simran melalui kawasan itu tanpa menyedari perjalanan mereka bakal berubah selamanya dengan plaza ikonik tersebut menampilkan dua panggung wayang bersejarah, iaitu Vue dan Odeon Leicester Square.
Diarahkan Aditya Chopra, DDLJ mengisahkan dua warga India di perantauan yang jatuh cinta ketika menjelajah Eropah dan India, dengan pengembaraan mereka bermula di Stesen King’s Cross.
Filem itu mencipta fenomena budaya dan kekal memegang rekod sebagai filem Hindi dengan tayangan paling lama dalam sejarah, malah masih ditayangkan di pawagam di India sehingga hari ini.
Legasi DDLJ turut diteruskan melalui adaptasi pentas Come Fall In Love – The DDLJ Musical, yang dipentaskan di Manchester awal tahun ini.
Arca baharu tersebut merupakan instalasi ke-11 dalam Scenes in the Square, sebuah inisiatif oleh Heart of London Business Alliance dengan kerjasama Westminster City Council. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments