BINTANG legenda Bollywood, Dharmendra, meninggal dunia pada usia 89 tahun di kediamannya di Mumbai, India, pada Ahad.
Pemilik nama sebenar Dharmendra Kewal Krishan Deol itu merupakan antara figura paling berpengaruh dalam industri perfileman India itu dikatakan bergelut dengan keadaan kesihatan dilaporkan tidak stabil sejak sebulan lalu.
Pemergian anak seni kelahiran Punjab pada 1935 ini memberi kesan mendalam kepada peminat serta rakan seindustri. Seluruh komuniti Bollywood berkongsi rasa kehilangan, dengan tampil mengirimkan ucapan takziah dan mengenang memori bersama mendiang.
Pelakon dan penerbit filem, Sanjay Dutt, memuat naik beberapa foto lama serta momen peribadi bersama Dharmendra di akaun X.
“Sesetengah orang bukan sekadar bekerja dalam hidup anda, mereka tinggal di dalam hati anda. Dharam ji (Dharmendra) adalah salah seorang daripada mereka. Ini adalah kekosongan yang tidak dapat digambarkan. Saya bersimpati dengan Sunny, Bobby dan seluruh keluarga,” ujarnya.
Penerbit dan pengarah tersohor, Karan Johar, yang pernah bekerjasama dengan mendiang menerusi filem Rocky Aur Rani Kii Prem Kahaani terbitan 2023 turut meluahkan rasa dukacita.
"Kerisauan besar. Seorang mega bintang dan lambang hero dalam sinema arus perdana," katanya.
Dikenali sebagai He-Man oleh jutaan peminat, Dharmendra membintangi lebih daripada 300 filem sepanjang lebih enam dekad kerjaya.
Perjalanannya bermula selepas memenangi sebuah pertandingan bakat anjuran majalah filem, yang membuka laluan untuknya berpindah ke Mumbai dan muncul dalam filem pertama pada 1960.
Antara karya paling ikonik yang menjulang namanya ialah filem kultus Sholay (1975). Naskhah itu bukan sekadar fenomena di layar perak, tetapi menjadi sebahagian daripada budaya pop India di mana dialog mendiang terus diulang, diparodikan dan menjadi meme sehingga hari ini.
Selain pengaruhnya dalam seni, Dharmendra turut pernah berkhidmat sebagai ahli Parlimen India dari 2004 hingga 2009. Perdana Menteri India, Narendra Modi, dalam satu hantaran di X, menyifatkan mendiang sebagai personaliti filem ikonik yang membawa pesona dan kedalaman dalam setiap watak dibawanya.
Dharmendra meninggalkan enam orang anak. Mendiang berkahwin dengan isteri pertamanya, Prakash Kaur, sebelum mendirikan rumah tangga dengan pelakon Hema Malini pada 1980 tanpa menceraikan Prakash. Kisah yang sering menjadi sebahagian daripada naratif hidupnya sebagai bintang besar yang penuh warna. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments