FENOMENA My Chemical Romance (MCR) terus membara di Kuala Lumpur. Tiket untuk malam kedua konsert mereka di Stadium Nasional Bukit Jalil habis terjual dalam masa hanya beberapa jam.
Perkembangan ini sekali gus mengesahkan bahawa MCRmy Malaysia dan rantau ini benar-benar bersedia untuk dua malam penuh letupan emosi, nostalgia, dan adrenalin muzik rock.
Dengan kedua-dua malam kini sold out, jumlah tiket yang berjaya dijual mencecah angka luar biasa iaitu 120,000 keping.
Angka ini bukan sekadar membanggakan, tetapi turut mencatat rekod baharu bagi konsert stadium oleh band antarabangsa di Asia Tenggara.
Kuala Lumpur secara rasmi menjadi satu-satunya lokasi dalam jelajah Asia Tenggara yang diberikan dua malam persembahan berturut-turut, dan sekali gus memecahkan rekod jumlah penonton terbesar MCR di rantau ini.
Rekod Baharu di Stadium Nasional Bukit Jalil
Kejayaan ini membawa makna istimewa buat arena hiburan tempatan kerana ia menandakan kali pertama dalam sejarah Stadium Nasional Bukit Jalil menjadi tuan rumah kepada konsert berskala besar artis antarabangsa selama dua malam berturut-turut.
Bagi penganjur, Hello Universe, pencapaian ini ibarat satu penanda aras baharu untuk acara muzik di Malaysia dan ia terjadi tepat pada masanya, bersempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Bagi para peminat pula, 30 April dan 1 Mei 2026 bakal menjadi tarikh keramat. Dua malam ini bukan sekadar persembahan muzik, tetapi sebuah pengalaman epik yang menyatukan ribuan jiwa di bawah langit Kuala Lumpur, menyanyikan lagu-lagu yang pernah menjadi soundtrack hidup mereka.
Jika jualan tiket ini menjadi tanda aras, MCR dijangka akan membawa persembahan yang bukan saja penuh tenaga, tetapi akan terukir sebagai antara momen konsert paling bersejarah di negara ini.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments