Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Stacy Terbang Tinggi di SICC: Konsert Sulung Cipta Sejarah Tersendiri


MALAM Sabtu lalu akan kekal sebagai detik paling bersejarah buat penyanyi Stacy Anam, apabila hampir 3,000 peminat membanjiri dewan Sabah International Convention Centre (SICC) bagi menyaksikan konsert solo pertama di tanah kelahirannya, Aku Stacy (Menggegar Kota U).

Dengan sorakan menggila, lampu pentas yang memukau dan susunan persembahan bertaraf antarabangsa, konsert selama hampir tiga jam itu menyaksikan Stacy dalam elemen terbaiknya, sebagai penghibur penuh semangat, anak seni yang menghargai akar budaya, dan seorang bintang pop yang tidak pernah kehilangan sinarnya walaupun sudah 17 tahun dalam industri hiburan.

“Saya rasa puas hati betul malam ini. Penantian selama tiga tahun akhirnya berbaloi kerana ini betul-betul ‘Stacy punya konsert',” luahnya usai persembahan.

Konsert istimewa itu dibuka penuh bertenaga dengan lagu Pakai Buang, menampilkan Stacy, 35, dalam persalinan ranggi hitam, putih dan merah, disambut sorakan gemuruh seluruh dewan.

Malam terus membara dengan lagu-lagu ikoniknya seperti Cakap Ke Tangan, Not For Sale, Gilalah, Bosan dan banyak lagi termasuk single terbaharunya, Menyala, yang membuktikan daya tarikannya kekal segar.



Salah satu babak paling dramatik malam itu menyaksikan Stacy ‘terbang’ di tengah-tengah dewan ketika mempersembahkan lagu Khayal, mencetuskan keterujaan seluruh ruang.

Momen emosi pula hadir sewaktu Stacy mendendangkan lagu-lagu balada seperti Kisah Dongeng dan Pelangi Senja yang dinyanyikan bersama ribuan penonton yang hadir.

Persembahan Asmaradana yang pernah memukau dalam program The Hardest Singing Show yang disertainya sebelum ini turut diselitkan semula dengan nafas baharu, lengkap dengan elemen budaya dan busana tradisional Sabah yang memperkukuh lagi identiti persembahan.

Tidak ketinggalan lagu ikonik, Aku Stacy, lagu yang memperkenalkan Stacy kepada industri hampir dua dekad lalu, kini menjadi simbol perjalanan seni yang penuh jatuh bangun, dan akhirnya diraikan di pentas mega di kampung halamannya sendiri.

Segmen ‘Bersemut’ - Stacy & Akim Ahmad

Segmen duet bersama suami tercinta, Akim Ahmad, menjadi antara 'highlight' paling dinanti. Mereka memulakan dengan lagu Inggeris, Die With A Smile, nyanyian asal Lady Gaga dan Bruno Mars, diikuti Aku, Kau dan Muzik serta Ritma & Rima yang membangkitkan rasa cinta dan persefahaman atas pentas.

Akim kemudiannya tampil solo membawakan lagu Rampas (Akim & The Majistret), mempersembahkan karisma dan vokal mantap yang memukau seluruh dewan.

“Ini adalah pelaburan terbesar Rhythm & Rhyme setakat ini, dan alhamdulillah, ia membuahkan hasil di luar jangkaan.

"Saya sangat berterima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung,” ujar Akim.

Serba indah dan saling melengkapi, duet Stacy dan Akim curi perhatian penonton

Konsert turut dimeriahkan dengan kehadiran artis jemputan seerti Amir Masdi, Elica Paujin, Hafiz Zainal dan Dabra Sia, yang masing-masing tampil memberikan persembahan dinamik dan berkarisma, termasuk pelawak Atu Zero yang muncul dengan jenaka spontan yang mencuit hati penonton.

10 Busana, 1 Rekod Baharu

Dalam tempoh persiapan tiga bulan, Stacy bukan sahaja merancang susunan muzik dan konsep pentas, tetapi turut tampil menggayakan 10 persalinan istimewa rekaan pereka fesyen tempatan, skali gus memecahkan rekod sebagai artis Malaysia pertama melakukan pertukaran kostum sebanyak itu dalam satu malam.

Stacy ketika sidang media selepas konsert tidak dapat menahan sebak apabila mengenangkan arwah abangnya, Chaq, yang banyak menyokong perjalanan seninya selama ini tiada bersama.

“Dialah insan yang membawa saya ke industri ini. Atas pentas malam ini, saya dapat rasakan kehadirannya. Itu yang membuatkan saya bersemangat sepanjang persembahan,” luahnya.

Menutup persembahan dengan penuh semangat, Stacy memberi bayangan tentang perancangan akan datang, termasuk kemungkinan membawa konsert ini ke Semenanjung.

“Kami bercadang untuk bawa konsert ini ke Semenanjung pula. Nantikan pengumumannya kelak. Kalau Sabah boleh gegarkan SICC, saya yakin Kuala Lumpur pun boleh kita gegarkan sama-sama nanti,” katanya penuh yakin.

Konsert ‘Aku Stacy (Menggegar Kota U)’ yang dianjurkan oleh Rhythm & Rhyme Entertainment adalah manifestasi cinta Stacy terhadap Sabah, terhadap muzik dan terhadap semua yang telah menyokongnya sejak 2008. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments