Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Magis Latihan Pestapora Malaysia 2025 Bersama Lebih 25 Artis dan 25,000 Peminat


SABTU lalu, Stadium Nasional Bukit Jalil bertukar menjadi lautan manusia dan laungan peminat muzik dari seluruh Malaysia dan Indonesia sempena Latihan Pestapora Malaysia 2025, sebuah festival mega yang mencipta sejarah tersendiri.

Dengan gabungan lebih 25 barisan artis dari kedua-dua negara dan kehadiran lebih 25,000 peminat, acara ini bukan sekadar konsert biasa, tapi sebuah gerakan budaya yang menghubungkan dua negara serumpun menerusi muzik.

Dianjurkan secara bersama oleh dua nama besar industri hiburan, Hitman Solutions dan Boss Creator, edisi 'latihan' ini adalah pemanas suasana menjelang Pestapora Jakarta 2025 yang akan berlangsung September nanti.

Ia bukan hanya sekadar persediaan, tetapi satu malam magis yang menyatukan pelbagai genre, peminat, dan momen tak terlupakan.

Sheila On 7: Penantian Berakhir, Emosi Terpaut

Antara detik paling epik malam itu pastinya saat Sheila On 7 muncul di pentas, kali pertama kembali ke Malaysia selepas lebih sedekad menyepi.

Seawal intro lagu pertama, sorakan gemuruh menggoncang stadium. Ribuan peminat menyanyi bersama lagu-lagu ikonik seperti Dan, Melompat Lebih Tinggi, Sephia, Kita dan Sahabat Sejati, mencipta momen penuh nostalgia dan emosi.

Kemunculan semula kumpulan dari Yogyakarta ini membuktikan cinta peminat Malaysia terhadap Sheila On 7 tetap utuh dan tak lapuk dek zaman.



Festival ini menampilkan gabungan besar artis Malaysia dan Indonesia merangkumi genre pop, rock, hip-hop, indie, sehinggalah ke dangdut.

Dua pentas utama iaitu Main Stage dan Hingar Bingar dipenuhi dengan persembahan bertenaga daripada nama-nama besar seperti .Feast, Hindia, Nadin Amizah, Barasuara X Efek Rumah Kaca, Bittersweet, Bunkface, Dolla, Pamungkas, Kunto Aji, Feel Koplo, Salammusik, Alvn, Aziz Harun, Ismail Izzani, Julia Duclos, Yonnyboii, dan ramai lagi.

Lebih menarik, festival ini turut menjadi ruang penting buat bakat alternatif dan artis muda tempatan seperti DJ CZA, Killa Driz, Lil J, Naki, dan Empty Page, menyerlah di hadapan ribuan penonton.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Solutions, Rohit Rampal, kejayaan ini adalah bukti bahawa Malaysia kini bersedia menjadi tuan rumah kepada festival antarabangsa berskala besar.

“Merealisasikan Latihan Pestapora di Malaysia adalah satu pencapaian besar. Ia bukan sahaja kejayaan produksi, tetapi juga simbol kejayaan budaya.

"Kami membawa satu IP festival antarabangsa ke Malaysia dan berjaya membuka ruang untuk penonton tempatan dan luar negara menikmati pengalaman ini di tanah air sendiri,” katanya.



Sementara itu, Pengarah Festival Pestapora & Pengasas Bersama Boss Creator, Kiki Ucup, menyifatkan festival ini sebagai permulaan kepada sesuatu yang lebih besar.

“Kami lihat sendiri bagaimana peminat Malaysia terbang ke Jakarta saban tahun untuk Pestapora. Kini tiba masanya kami bawa ‘latihan’ ke sini agar rakyat Malaysia juga dapat merasai magisnya.

"Ini lebih daripada sekadar konsert, ia adalah pengalaman membina komuniti dan semangat serantau,” katanya.

Vibe Serantau, Rasa Lokal

Walaupun membawa roh dan semangat asal Pestapora Jakarta, versi Malaysia ini tampil dengan citarasa tersendiri. Selain muzik, penonton juga disajikan dengan ruang interaktif, vendor makanan tempatan, serta instalasi bergambar Instagram-worthy yang menarik untuk semua lapisan umur.

Paling mengujakan, sambutan luar biasa daripada peminat dan respons positif dari media membuatkan penganjur kini menyatakan hasrat untuk menjadikan Latihan Pestapora Malaysia sebagai acara tahunan, membuka lembaran baharu buat peta festival muzik serantau.

Latihan Pestapora Malaysia 2025 membuktikan bahawa muzik bukan sekadar hiburan, tetapi satu bahasa jiwa yang menyatukan rakyat dua negara. Ribuan suara bersatu tanpa sempadan dalam satu irama yang akan terus dikenang. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments