SATU chef. Satu raja zalim. Satu kekalutan diraja. Netflix kembali dengan sentuhan segar K-romance melalui Bon Appétit, Your Majesty yang akan dilancarkan secara global pada 23 Ogos ini.
Dibintangi oleh Lim Yoon-a dan bintang meningkat naik Lee Chae-min, drama fantasi rom-kom ini membawakan keserasian memikat, elemen time-slip, dan intrik istana yang cukup menggoda, lengkap dengan hidangan yang membuat perut dan hati sama-sama bergetar.
Dalam trailer utama yang baru sahaja dikeluarkan, penonton diperkenalkan kepada Yeon Ji-young (Lim Yoon-a), seorang chef bertaraf dunia yang tiba-tiba ‘terlempar’ daripada pertandingan masakan Perancis ke dalam istana Raja Yi Heon (Lee Chae-min) yang terkenal kejam.
Tiada jalan pulang, Ji-young memilih untuk ‘all-in’ dengan menghidangkan kata-kata berani dan masakan yang lebih berani lagi.
Daripada stik berjus hingga pasta yang sempurna, ciptaannya yang belum pernah dilihat membuat sang raja terpegun, sementara para pembesar istana menjadi kelam-kabut.
Namun, memenangi selera raja bukan sesuatu yang percuma di mana ia mengundang persaingan sengit, rasa cemburu yang membuak, dan ancaman hukuman istana yang sentiasa menunggu.
Watak-Watak Memikat
Lim Yoon-a membawakan watak Chef Yeon Ji-youngseorang chef yang tegas, cekal, dan berjiwa Michelin-star. Sehelai napkin sahaja memisahkan dia daripada dunia asalnya; sekejap dia menghias pinggan foie gras, sekejap lagi dia sudah mengurus dapur istana kuno. Dia bukan jenis yang tunduk kepada raja, tapi mungkin dialah yang bakal mengubah hati seorang raja.
Sementara itu, Lee Chae-min memegang watak Raja Yi Heon, seorang pemerintah berdarah dingin dengan cita rasa setaraf dewa. Dia tidak percaya sesiapa, menghukum kegagalan tanpa belas kasihan, dan memerintah istana dengan ‘deria rasa besi’.
Persoalannya, adakah cef yang lidahnya tajam, tangannya magiS ini mampu bertahan dalam politik istana yang penuh tipu daya dan kembali ke masanya sendiri? Atau adakah dia akan ‘menghidangkan’ sesuatu yang lebih daripada sekadar makanan?
Bon Appétit, Your Majesty bakal menemui penonton pada 23 Ogos, eksklusif di Netflix.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments