Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Disney+ Hotstar Perkenal Trailer Terbaru Drama Sci-Fi FX’s Alien: Earth


DISNEY+ Hotstar baru sahaja melancarkan trailer kedua yang cukup memukau untuk drama sains fiksyen terbaharu, Alien: Earth, hasil sentuhan penerbit pemenang Emmy, Noah Hawley.

Siri ini diadaptasi daripada francais ikonik yang telah memikat peminat selama beberapa dekad dan bakal membuat tayangan perdana pada Rabu, 13 Ogos.

Dua episod pertama akan tersedia serentak di Disney+ Hotstar Malaysia, diikuti episod baharu setiap minggu pada hari Rabu sehingga melengkapkan musim lapan episod ini.

Kisahnya bermula apabila kapal penyelidikan angkasa lepas USCSS Maginot terhempas di Bumi. Wendy (lakonan Sydney Chandler) bersama sekumpulan askar taktikal yang agak ‘kucar-kacir’ secara tidak sengaja menemui sesuatu yang bakal membawa mereka berdepan dengan ancaman paling dahsyat planet ini, satu pertembungan yang akan mengubah segalanya.

Dunia Korporat, Teknologi Baharu dan Ancaman Tak Terjangka

Mengambil latar tahun 2120, Bumi pada era ini dikawal lima syarikat gergasi: Prodigy, Weyland-Yutani, Lynch, Dynamic dan Threshold. Inilah zaman 'Corporate Era', di mana cyborg (manusia dengan gabungan bahagian biologi dan mekanikal) dan synthetic (robot humanoid dengan kecerdasan buatan) hidup bersama manusia.

Segala-galanya berubah apabila pengasas muda dan genius Prodigy Corporation mencipta teknologi revolusioner: hybrid, robot humanoid yang dipadukan dengan kesedaran manusia. Prototaip pertama yang diberi nama Wendy menjadi mercu tanda era baharu dalam perlumbaan mencari keabadian.

Namun, selepas kapal angkasa milik Weyland-Yutani bertembung dengan Prodigy City, Wendy dan para hybrid lain terperangkap dalam situasi ngeri, apabila mereka bertemu dengan makhluk asing yang lebih menakutkan daripada apa sahaja yang pernah dibayangkan.


Diterajui oleh Sydney Chandler, siri ini turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Timothy Olyphant, Alex Lawther, Samuel Blenkin, Babou Ceesay, Adrian Edmondson, David Rysdahl, Essie Davis, Lily Newmark, Erana James, Adarsh Gourav, Jonathan Ajayi, Kit Young, Diêm Camille, Moe Bar-El dan Sandra Yi Sencindiver.

Alien: Earth dicipta untuk televisyen oleh Noah Hawley, yang turut berkhidmat sebagai penerbit eksekutif bersama Ridley Scott, David W. Zucker, Joseph Iberti, Dana Gonzales dan Clayton Krueger. Siri ini diterbitkan oleh FX Productions dan dijangka menjadi antara tayangan paling epik dalam dunia sci-fi tahun ini.

Dengan gabungan kisah penuh ketegangan, dunia futuristik yang kompleks, dan ancaman makhluk asing yang menggigit saraf, Alien: Earth nampaknya bakal menjadi bab baharu yang mengujakan dalam legasi francais ini. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments