KUMPULAN Syarikat KRU melalui anak syarikatnya, Kruniverse Sdn Bhd, melangkah ke fasa baharu dengan menandatangani kerjasama strategik bersama Unity Trust Berhad.
Matlamatnya jelas, mengembangkan sayap perniagaan hospitaliti dan gaya hidup di Shah Alam serta Klang, sekali gus memacu industri pelancongan berteraskan hiburan dan teknologi.
Dengan visi jangka panjang untuk menjadi peneraju serantau, Kruniverse akan memacu beberapa projek utama di lokasi strategik, bergandingan rapat dengan pihak berkuasa tempatan dan para pemegang taruh.
Dalam tempoh tiga tahun akan datang, pengembangan ini di jangka melibatkan pelaburan bernilai RM50 juta, dibiayai melalui pelbagai kaedah pembiayaan inovatif.
Standard Tadbir Urus Jadi Keutamaan
Bagi memastikan projek ini bergerak dengan asas kukuh, Kruniverse memeterai perjanjian kerjasama dengan Unity Trust Berhad, sebuah organisasi yang terkenal dengan rekod cemerlang dalam pengurusan amanah dan tadbir urus korporat.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KRU Corp Sdn Bhd, Datuk Norman Abdul Halim,ini adalah pencapaian penting dalam usaha mengembangkan operasi sambil mengekalkan standard pengurusan tertinggi.
“Matlamat kami bukan sekadar meningkatkan pengalaman pengunjung, tetapi membina ekosistem mampan yang memberi impak positif kepada perniagaan dan komuniti tempatan,” jelasnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Unity Trust Berhad, Syed Sadiq Obaidi Albar Syed Hamid, pula menekankan bahawa kerjasama ini menyokong transformasi Kruniverse daripada perniagaan milik keluarga kepada organisasi moden yang berasaskan data, mampan, dan bersedia untuk penyenaraian awam.
Dengan asas tadbir urus yang diperkukuh, Kruniverse kini bersiap sedia melancarkan projek pertamanya pada November 2025. Ia bukan sekadar tarikh pelancaran, tetapi permulaan babak baharu dalam perjalanan perniagaan mereka, satu langkah besar ke arah mencipta nilai jangka panjang untuk semua pihak yang terlibat. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments