PELAKON aksi terkenal antarabangsa, Jet Li, baru-baru ini selamat menjalani pembedahan untuk membuang tumor di sebuah hospital di China.
Berita ini dikongsi sendiri oleh bintang berusia 62 tahun itu melalui platform media sosial Douyin dan Weibo, sekali gus menamatkan pelbagai spekulasi mengenai status kesihatannya.
Jet Li turut memuat naik beberapa gambar dan video yang menunjukkan detik-detik dirinya di hospital, termasuk ketika sedang ditolak ke bilik pembedahan dan selepas prosedur selesai.
“Baru-baru ini saya berdepan cabaran yang tidak dijangka. Sekarang saya rasa lebih sihat. Mari beritahu yang lain bahawa saya okay,” tulisnya dalam kapsyen tersebut.
Meski tidak berkongsi secara terperinci tentang penyakitnya, dia tetap mengucapkan terima kasih kepada para peminat yang sentiasa prihatin dan mendoakan kesihatannya. Sokongan mereka nyata memberi kekuatan kepadanya sepanjang tempoh rawatan.
Pembedahan Untuk Tumor Kecil
Menurut laporan media Taiwan, rakan rapat Jet Li yang juga penerbit filem terkenal, Tiffany Chen, menjelaskan bahawa pembedahan itu bertujuan membuang tumor 'benign' kecil yang tidak membahayakan nyawa.
Jet Li, yang dilahirkan di China dan kini merupakan warganegara Singapura, sebelum ini pernah mendedahkan bahawa dia menghidap hipertiroidisme sejak 2010, iaitu keadaan di mana kelenjar tiroid menghasilkan hormon berlebihan.
Difahamkan Jet Li kini berada dalam keadaan lebih sihat dan bersedia untuk menumpukan perhatian kepada kehidupannya serta projek-projek seni masa depan. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments