Hot Posts

6/recent/ticker-posts

MTV VMA Nominations 2025: Lady Gaga, Bruno Mars & Kendrick Lamar Kuasai Senarai


SENARAI pencalonan rasmi MTV Video Music Awards (VMAs) 2025 sudah pun diumumkan dan Lady Gaga sekali lagi membuktikan statusnya sebagai kuasa besar dalam dunia muzik.

Gaga mengetuai senarai dengan 12 pencalonan, diikuti rapat oleh Bruno Mars (11) dan Kendrick Lamar (10). Trio ini menjadi satu-satunya artis yang berjaya mencapai angka dua digit tahun ini, dengan Gaga mencatat untuk kali ketiga mengetuai jumlah pencalonan keseluruhan.

Rosé dan Sabrina Carpenter turut memberi saingan hebat dengan masing-masing lapan pencalonan, manakala Ariana Grande dan The Weeknd mengutip tujuh. Billie Eilish berada di belakang dengan enam, diikuti Charli xcx dengan lima.

Sementara itu, Bad Bunny, Doechii, Ed Sheeran, Jelly Roll, Miley Cyrus dan Tate McRae masing-masing mengumpul empat pencalonan.

Malam anugerah berprestij ini akan berlangsung pada 7 September di USB Arena, New York City, dengan siaran langsung serentak di CBS dan MTV, serta penstriman di Paramount+.

Persaingan Kategori Utama

Kategori tumpuan Video of the Year kali ini bakal menyaksikan pertembungan sengit: Ariana Grande dengan Brighter Days Ahead, Billie Eilish (Birds of a Feather), Kendrick Lamar (Not Like Us), gandingan Gaga dan Mars (Die with a Smile), Rosé dan Mars (APT.), Sabrina Carpenter (Manchild) serta The Weeknd bersama Playboi Carti (Timeless).

Artist of the Year pula mempertaruhkan nama-nama besar seperti Bad Bunny, Beyoncé, Lamar, Gaga, Morgan Wallen, Taylor Swift dan The Weeknd. Sementara kategori Best New Artist membariskan Alex Warren, Ella Langley, Gigi Perez, Lola Young, Sombr dan The Marías.

Tahun ini, dua kategori baharu diperkenalkan iaitu Best Country dan Best Pop Artist, menandakan perkembangan selera muzik yang semakin luas di VMAs.

Senarai penuh pencalonan merangkumi pelbagai genre dan kolaborasi menarik, termasuk Best K-Pop yang menampilkan Aespa (Whiplash), Jennie (Like Jennie), Jimin (Who), Jisoo (Earthquake), Lisa ft. Doja Cat & Raye (Born Again), Stray Kids (Chk Chk Boom) dan Rosé (Toxic Till the End).

Dengan kehadiran bintang-bintang global dari pelbagai latar muzik, edisi 2025 ini dijangka menjadi antara yang paling sengit dan berwarna dalam sejarah MTV VMAs. Kini, semua mata tertumpu kepada siapa yang bakal membawa pulang Moonman pada malam penuh gemilang itu nanti. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments