BARU saja dilancarkan eksklusif menerusi Apple New Music Daily, Wolf Alice kembali menghangatkan debaran peminat menjelang pelancaran album keempat mereka yang sangat dinantikan, The Clearing, yang akan keluar pada 22 Ogos ini.
Kali ini, mereka memperkenalkan single segar berjudul
White Horses, satu-satunya lagu dalam album ini yang menampilkan pemain dram Joel Amey sebagai vokalis utama, sebelum ia bertukar menjadi duet harmoni indah bersama Ellie Rowsell.
Menariknya, idea awal
White Horses tercetus daripada bait lirik yang Joel simpan dalam aplikasi nota telefonnya, ketika perjalanan kereta yang jarang-jarang berlaku bersama ibu, makcik, dan adiknya.
Lirik itu dibiarkan seketika, sebelum Joel kembali kepadanya di hujung sesi rakaman album untuk mengembangkan tema. Dia membawa rangka asas lagu itu kepada ahli band lain, lalu bersama-sama mereka membentuknya menjadi karya yang sepadan dengan visi bunyi
The Clearing.
Joel berkongsi bahawa dia terinspirasi oleh bentuk sonik dan harmoni besar yang mula terbentuk dalam album, tetapi ingin menambah lapisan irama krautrock yang bertenaga di bawahnya.
Dari segi lirik, ia menyentuh kisah keluarganya. Selama bertahun-tahun, mereka tidak pernah benar-benar mengetahui asal-usul mereka kerana ibunya dan makciknya adalah anak angkat. Pertanyaan tentang identiti dan akar keturunan selalu wujud, tetapi bagi Joel, ia bukan jawapan yang perlu dia cari ketika itu.
Ketika mengembara dunia bersama Wolf Alice sepanjang usia 20-an, konsep 'rumah' menjadi kabur. Hidup dalam pengembaraan dengan kawan-kawan rapat, berpindah-randah tanpa menetap di satu tempat, dia merasakan jawapan kepada 'siapa aku dan dari mana aku datang' tidak sepenting siapa yang berada di sekelilingnya.
Namun, seiring peningkatan usia, rasa ingin tahu itu semakin kuat bercampur teruja, sedikit ketakutan, dan keyakinan bahawa apa pun jawapannya, dia tetap bersyukur dengan keluarga yang dipilihnya.
White Horses, katanya, adalah cubaan menterjemahkan semua itu ke dalam sebuah lagu, dengan Ellie, Joff, dan Theo membantu sepanjang proses.
Jejak Emosi, Eksperimen Bunyi
Dari segi bunyinya,
White Horses menggabungkan pengaruh muzik tarian psychedelic dengan nuansa rock 70-an yang menjadi DNA
The Clearing. Ia meluas dan penuh kemungkinan, dengan laluan melodi yang berkembang ke kemuncak besar.
Ada kuasa psychedelic yang tidak berlebihan tetapi mengikat jiwa, terutamanya dengan lirik euphoria;
'Know who I am that’s important to me/Do what I can to see the wood from the trees.'
Lagu ini hadir selepas dua single album yang sudah dilancarkan sebelum ini,
Bloom Baby Bloom dan
The Sofa, yang diperkenalkan selepas persembahan senja penuh magis di pentas The Other Stage, Glastonbury, momen yang mencairkan hati ramai peminat.
Dalam persembahan itu, Wolf Alice menggabungkan lagu kegemaran seperti
Bros dan
Don’t Delete The Kisses bersama karya baharu, menjadikannya seperti ‘victory lap’ untuk sebuah band di kemuncak kuasa kreatif.
Ditulis di Seven Sisters dan dirakam di Los Angeles tahun lalu bersama penerbit pemenang Grammy, Greg Kurstin,
The Clearing adalah album yang memaparkan Wolf Alice di tahun 2025 dengan keyakinan mutlak, penuh cita-cita, idea, dan emosi.
Sejak muncul pada 2013 dengan
My Love Is Cool yang membawa nominasi Grammy untuk
Moaning Lisa Smile, diikuti
Visions of a Life (2018) yang memenangi Mercury Prize, dan
Blue Weekend (2022) yang meraih nombor satu di UK serta Brit Award untuk Best Group, Wolf Alice telah berkembang menjadi band berpengaruh untuk generasi mereka.
Album ini menandakan peralihan progresif dalam eksplorasi cinta, kehilangan, dan hubungan manusia, klasik pop/rock yang memberi penghormatan pada era 70-an tetapi tetap segar.
Jika Fleetwood Mac merakam album baharu di North London hari ini, hasilnya mungkin hampir seperti
The Clearing, setiap lagu unik, tanpa ruang terbuang, dengan melodi paling mantap yang pernah mereka cipta.
Ellie Rowsell memimpin dengan penceritaan puitisnya yang semakin matang, sementara Joff, Theo, dan Joel memancarkan keseronokan dan keyakinan.
Album ini bertemakan rasa bebas dan jelas setelah melalui riuh rendah usia 20-an, potret Wolf Alice di ambang dekad baharu dalam hidup dan seni mereka.
The Clearing menampilkan lagu-lagu seperti
Thorns, Bloom Baby Bloom, Just Two Girls, Leaning Against The Wall, Passenger Seat, Play It Out, Bread Butter Tea Sugar, Safe in the World, Midnight Song, White Horses dan
The Sofa.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments