PELAKON Korea Selatan, Lee Seo Yi, dilaporkan meninggal dunia pada 20 Jun lalu dalam usia 43 tahun. Namun, berita pemergian mendiang hanya dikongsi kepada umum selepas 11 hari, menerusi kenyataan rasmi yang dimuat naik oleh pengurusnya, Song Seo Bin, di media sosial pada 1 Julai.
Menurut kenyataan tersebut, punca kematian tidak didedahkan atas permintaan keluarga.
“Saya menulis untuk memberitahu bahawa unnie (kakak) saya yang bijak, cantik, manis dan baik hati telah menjadi bintang di langit pada 20 Jun.
"Saya tahu berita ini pasti mengejutkan dan menyedihkan anda semua, tetapi tolong doakan agar unnie pergi ke tempat yang indah. Saya menyiarkan mesej ini bagi pihak ibu bapanya,” tulisnya.
Lee Seo Yi atau nama sebenarnya ialah Song Soo-yeon merupakan graduan dalam bidang Pengajian Czech dan Slovak dari Hankuk University of Foreign Studies, salah satu universiti berprestij di Korea Selatan. Mendiang juga pernah melanjutkan pengajian pascasiswazah di Pusan National University.
Memulakan kerjaya dalam bidang lakonan pada tahun 2013 menerusi drama sejarah Hur Jun, The Original Story, namanya mula mendapat perhatian selepas membintangi siri SBS Cheongdam-dong Scandal pada tahun berikutnya.
Selain aktif di kaca TV, Lee turut membintangi beberapa filem seperti The King (2017) dan Killing Romance (2023). Projek terakhirnya adalah drama The Divorce Insurance yang baru sahaja tamat tayangan pada Mei 2025.
Di sebalik karier seni, mendiang juga dikenali sebagai pencinta bunga dan pengasas butik floristry miliknya sendiri yang diberi nama Bouquet 242. Difahamkan, aktres jelita itu sedang merancang pembukaan semula butik tersebut pada September ini sebelum pemergiannya.
Beberapa hari sebelum meninggal dunia, Seo Yi ada memuat naik sebuah hantaran video di media sosial, menampilkan dirinya dalam suasana senyap dengan latar muzik penuh emosi.
Video itu kini ditafsir oleh peminat sebagai 'ucapan perpisahan dalam diam', dengan komen seperti “No more pain” mula memenuhi ruangan tersebut.
Kehilangan mendadak pelakon itu mengejutkan ramai pihak, termasuk peminat dan rakan industri yang mengenali keperibadiannya.
Mendiang dilaporkan masih aktif di media sosial beberapa hari sebelum pemergiannya, menjadikan berita ini lebih sukar diterima oleh ramai yang mengikuti perkembangan hidup dan kariernya.
Majlis pengebumian akan diadakan secara tertutup atas permintaan keluarga, dan lokasi sebenar tidak diumumkan kepada umum bagi menghormati privasi waris. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments