Kejayaan Liu Ying cetus inspirasi ramai | KREDIT FOTO: Instagram Goh Liu Ying |
Oleh: SHAZAN ZAIDI
PENCAPAIAN luar biasa bekas pemain beregu campuran negara, Goh Liu Ying terus menjadi inspirasi apabila Namanya kini terpahat dalam Malaysia Book of Records.
Liu Ying, 36, menerima pengiktirafan sebagai wanita pertama Malaysia yang memenangi pingat Olimpik dalam acara badminton susulan kejayaan merangkul pingat perak bersama gandingannya, Chan Peng Soon, di temasya Sukan Olimpik Rio 2016, di Rio de Janeiro.
Terharu dengan penghargaan tersebut, ibu kepada dua cahaya mata itu menzahirkan ucapan penuh makna menerusi media sosial.
“Daripada mengejar bulu tangkis di gelanggang kepada menerima penghormatan negara, terima kasih kepada Malaysia Book of Records atas pengiktirafan ini.
"Saya berasa amat dihormati kerana menjadi wanita pertama Malaysia yang memenangi pingat Olimpik dalam badminton.
"Semoga perjalanan saya ini memberi inspirasi kepada generasi akan datang untuk percaya pada keupayaan diri mereka. Impian Olimpik memang boleh jadi kenyataan,” tulisnya.
Walaupun Liu Ying dan Peng Soon tewas kepada pasangan Indonesia, Tontowi Ahmad dan Liliyana Natsir pada perlawanan akhir itu, pencapaian mereka tetap menjadi detik bersejarah buat negara dan sukan badminton tanah air.
Lebih membanggakan, atlet kelahiran Melaka itu pernah melalui pelbagai dugaan sebelum temasya tersebut, termasuk menjalani pembedahan di kedua-dua lututnya dua tahun lebih awal. Kecekalan dan semangat juangnya menjadikan kejayaan itu simbol kekuatan dan harapan.
Pengiktirafan kepada Goh Liu Ying bukan sekadar satu pencapaian peribadi, malah menjadi pemangkin semangat untuk generasi muda mengejar impian di pentas dunia, sekali gus mengukuhkan lagi legasi Malaysia dalam arena badminton antarabangsa.
Tahun lalu, beregu wanita negara, Pearly Tan-M.Thinaah, juga menghampiri pingat dalam Sukan Olimpik Paris. Namun mereka terpaksa berpuas hati di tempat keempat berikutan tewas dalam penentuan gangsa. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments