PELAKON popular Ikmal Amry, melakar kejayaan dalam pertarungan sulungnya di pentas seni bela diri Fury Championship apabila menewaskan rakan selebriti, Hun Haqeem, 27, dalam satu perlawanan yang mencuri tumpuan ramai di Zepp KL pada malam Jumaat.
Meski teruja dengan kemenangan itu, Ikmal, 30, mengakui turut bersimpati terhadap lawannya yang mengalami kecederaan hidung.
Ujar Ikmal, dia turut terkesan apabila melihat Hun mengalami pendarahan sejurus terkena tumbukan pertama.
"Saya rasa simpati apabila melihat Hun berdarah selepas terkena tumbukan pertama. Saya terpaksa perlahan dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan sehingga jurulatih menyuruh saya tenang,” jelasnya ketika ditemui media selepas perlawanan.
Ikmal simpati dan berharap Hun segera pulih daripada kecederaan. |
Dalam nada profesional, Ikmal menegaskan bahawa sukan tempur memerlukan ketegasan dan ketahanan mental.
“Begitulah keadaannya, kita perlu tunjukkan profesionalisme dalam sukan tempur'. Saya harap Hun cepat sembuh dan kembali lebih kuat," katanya.
Hadiah bermakna
Bintang drama From Saga With Love itu juga mendedahkan dia mengetahui tentang masalah lutut yang dialami Hun, tetapi menghormati keputusan lawannya yang tetap mahu meneruskan pertarungan.
"Saya lebih selesa bertarung dengan lawan yang tidak dikenali supaya saya dapat memberi sepenuh tenaga tanpa tekanan peribadi," katanya.
Menurut Ikmal, kemenangan itu adalah hadiah untuk dirinya, keluarga dan rakan-rakan. Lebih penting, katanya kepada 7Klik, ia juga menjadi bukti bahawa dia bukan sekadar pelakon ‘hero material’ semata-mata.
“Saya mahu jadi lelaki yang lebih baik, suami dan aktor berkualiti. Inilah langkah-langkahnya, pelajari ilmu seni bela diri. Saya nak buktikan saya tak main-main,” katanya tegas.
Walaupun Hun dikatakan tidak berpuas hati dengan keputusan pertarungan, Ikmal sedia memberi peluang untuk perlawanan semula dengan syarat Hun benar-benar sembuh.
Kejayaan Ikmal dalam gelanggang ini sekali gus membuka lembaran baharu buat dirinya sebagai pelakon serba boleh yang sanggup keluar dari zon selesa dan mencabar kemampuan diri dalam dunia sukan tempur.
ARTIKEL LAIN:
0 Comments