Marsha Milan kembali buat peminat emosi


SELEPAS fenomena drama Lelaki Itu, lagu nyanyian Marsha Milan berjudul Dulu Kini Dan Akhirnya yang mengisi runut bunyi naskhah tersebut mula trending dan mendapat perhatian ramai.

Terbaharu penyanyi bervokal hebat itu sekali lagi tampil dengan lagu terbaharunya, Hening Rindu yang juga terpilih menjadi lagu runut bunyi untuk drama terbitan TV3, Aku Bukan Ustazah yang sedang bersiaran di slot Akasia setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7 malam.

Single kesembilan Marsha bersama label Alternate Records & Talents itu merupakan karya hasil ciptaan komposer terkenal Ikhwan Fattana dan Wan Salleh, manakala liriknya ditulis oleh Wan Salleh sendiri. 

Menurut Marsha, 39, kali pertama mendengar melodi Hening Rindu, ia sangat menangkap hatinya dan terus menyukai serta bersetuju untuk berkolaborasi.

"Lagu dan muzik video ini sangat istimewa bagi saya, sesuatu yang saya rasa kita semua mungkin pernah rasa.  Ia membawa kembali suasana balada tahun 90-an tetapi dengan sentuhan yang moden. 

"Saya bangga dapat menjadi sebahagian daripada projek kreatif yang besar ini. Sebagai seorang penyanyi saya rasa ia sentiasa menjadi tanggungjawab untuk memberikan dinamik rasa dan warna kepada mana-mana kanvas yang diberikan," katanya.

Mengulas tentang lagu tersebur yang sekali lagi dipilih menjadi lagu rnut bunyi drama, penyanyi asal Sabah itu mengakui berbesar hati.

"Saya sangat berbesar hati dapat menyumbangkan suara sekali lagi untuk lagu tema untuk drama. Menyampaikan lagu tema drama memerlukan penghayatan emosi yang mendalam.

"Bukan sekadar menyampaikan lirik dan melodi, tetapi juga perlu merasai dan memahami emosi yang  disampaikan.

"Melodinya syahdu, sarat dengan maksud tersirat. Saya berharap ia dapat menyentuh hati penonton seperti mana ia menyentuh hati saya ketika merakamkannya," jelasnya.

Sementara itu, Ikhwan Fatanna menyifatkan vokal Marsha sebagai luar biasa dapat menyampaikan mesej yang meyakinkan dalam Hening Rindu.

"Ini merupakan kolaborasi pertama dengan Marsha dan dia adalah sangat-sangat hebat. Sangat teruja untuk melihat kejayaan Marsha untuk Hening Rindu ini,” ujarnya.

Kesinambungan kisah

Hening Rindu adalah sebuah lagu balada yang penuh dengan emosi dan perasaan rindu yang mendalam. Melalui melodi yang memukau, liriknya dibuai oleh gambaran perasaan kehilangan, kenangan yang berharga, dan cinta yang abadi walaupun dipisahkan oleh jarak dan waktu.

Lagu ini menyentuh hati pendengar dengan tema universal tentang cinta dan rindu yang dialami oleh setiap insan.

Marsha (dua dari kanan) ketika majlis pelancaran muzik video Hening Rindu. 

Dalam pada itu, konsep muzik video (MV) Hening Rindu adalah kesinambungan kepada Dulu, Kini dan Akhirnya dan merupakan hasil arahan Izuan Mokhtar.

Kisahnya membongkarkan tentang Marsha yang diabaikan sebelum ini oleh suaminya Mirza, kerana Mirza sudah mempunyai perempuan lain iaitu Qaidah. Selepas pergaduhan, Marsha terlibat kemalangan sehingga meninggal dunia termasuk bayi di dalam kandungannya.

Penyesalan Mirza di atas segala perbuatannya terhadap isterinya digarap dengan baik dalam setiap babak.

Muzik video ini juga menampilkan lokasi-lokasi yang indah dan sinematografi yang mempesonakan disekitar Eco Majestic, Batai, Sepang, UPM Serdang, Subang Bestari dan Tadom Hill, menjadikan ia sebuah karya seni yang lengkap.

Penggambaran yang mengambil masa tiga hari ini turut menampilkan penampilan khas Datuk Adi Putra sebagai Mirza.

Sebelum ini, single Marsha yang berjudul Dulu Kini Dan Akhirnya yang merupakan lagu runut bunyi kepada drama Lelaki Itu telah mencatat sehingga 191 ribu tontonan di YouTube dan sekali gus menjadikan lagu tersebut trending di YouTube Music di tangga ke-25 dan juga mendapat 70 Juta tontonan di aplikasi Tik Tok sehingga kini.

Jangan lepaskan peluang untuk mendengar lagu Hening Rindu dan Dulu Kini Dan Akhirnya nyanyian Marsha Milan yang telah mula bergema di platform iTunes atau melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Spotify dan YouTube Music. - 7KLIK



[FOTO: Alternate Records & Talents]

Post a Comment

Previous Post Next Post