Gandingan Bob Yusof, Diana dan Dhwan buat Tera Tari jadi lebih istimewa


MAHU sama-sama menghargai khazanah seni dan budaya, tiga artis berbakat tampil berkolaborasi menghasilkan sebuah karya segar untuk dikongsi dengan pencinta muzik.

Diana Nazyra dan Dhwan Abu dari Singapura, serta penyanyi tanah air, Bob Yusof teruja memperkenalkan single terbaharu mereka berjudul Tera Tari iaitu sebuah ciptaan muzik berunsurkan pop moden yang menggabungkan budaya Jawa dan Sunda.

Lagu hasil ciptaan Diana Nazyra dan Omar K, manakala lirik oleh Razzaq An'Arddzy itu menjanjikan karya moden yang menyegarkan di mana konsepnya diambil daripada tarian Jaipong Karawang, sebuah warisan budaya yang menceritakan perjalanan hidup melalui seni tari.

Menurut Dhwan Abu, lagu itu menarik minatnya kerana terpana dengan melodi memukau dan lenggok lirik yang menyentuh jiwa.

“Pertama kali demo lagu ini dimainkan, saya sungguh tertarik dengan gaya melodinya yang jarang kita dengar pada hasil muzik zaman kini. Ia membawa sisi yang berbeza dan saya amat terpikat untuk bekerjasama menjayakannya,” ujarnya.

Sementara Bob Yusof mengakui teruja dengan penyatuan elemen muzik Jawa dan di mana memandang ia sebagai suatu nafas baharu terhadap dunia muzik tradisional sekali gus memartabatkan kembali industri tersebut.

“Bagi saya, Diana dan Dhwan adalah sebuah pakej lengkap. Mereka mempunyai vokal nyanyian yang baik, idea yang segar dan amat mudah untuk kami bekerjasama kerana mereka sangat berdisiplin ketika bekerja.

"Walaupun keserasian berjaya dibina dalam penghasilan lagu ini, cabaran utama adalah merupakan pencarian lenggok bahasa dan aturan muzik yang sesuai agar tidak lari jauh dari elemen yang digubah untuk seiring dengan gabungan muzik moden,” katanya.

Dalam masa sama, Bob Yusof dan Diana Nazyra mengakui cabaran yang dihadapi untuk menggabungkan muzik tradisional Jawa dan Sunda dengan sentuhan pop kontemporari agak berat dan sukar.

Namun, ia juga adalah sebuah cabaran yang membuka peluang dan ruang untuk berinovasi yang membolehkan lagu ini memupuk perpaduan melalui muzik.

Tera Tari boleh dimuat turundi iTunes atau melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, Tidal dan Deezer. - 7KLIK 


ARTIKEL LAIN: mengenali-mona-di-hati-amir-hasan
ARTIKEL LAIN: rentas-budaya-antara-saixse-kidd-santhe
ARTIKEL LAIN: nadeera-letak-harapan-pada-udara-atur

[FOTO: Alternate Records] 

Post a Comment

Previous Post Next Post