Tanyalah Ustaz: Akad 40, Nikahkan 20 Pasangan


TANYALAH Ustaz: Akad 40 menyatukan 20 pasangan asnaf dan yang kurang berkemampuan sempena ulang tahun TV3 dengan bertemakan ‘Inspirasi Generasi’ di Dewan Serbaguna, Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.

Seramai 40 pengantin ini terdiri daripada golongan asnaf, kurang berkemampuan dan mualaf yang masih menjinakkan diri untuk mempelajari tentang agama Islam telah diraikan dalam sebuah majlis akad nikah istimewa.

Program yang dirakam itu akan disiarkan pada 8 Jun ini, Sabtu, pada jam 7 malam di TV3 dan boleh di strim secara langsung dalam HD melalui aplikasi Tonton atau www.tonton.com.my .

Tanyalah Ustaz: Akad 40 menampilkan dua pengacara berwibawa program itu, Tajdid Hadhari sebagai pengacara utama dan Da’i Annas sebagai pengacara belakang pentas, manakala Ahmad Fedtri Yahya mengacarakan majlis resepsi pernikahan.

Majlis resepsi sederhana tetapi meriah ini telah disempurnakan dengan kehadiran para jemputan khas, ahli keluarga dan sahabat handai yang turut serta memeriahkan suasana.

Lebih istimewa ia turut diserikan dengan kehadiran tetamu khas iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Senator Datuk Setia Dr. Hj. Mohd. Na’im Hj. Mokhtar, dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Kolonel Datuk Haji Mohd Ajib Ismail, yang turut serta sebagai jurunikah.

Acara pernikahan secara beramai-ramai itu adalah sebuah inisiatif TV3 yang bertujuan untuk membantu golongan kurang berkemampuan dalam melaksanakan ibadah perkahwinan dan memudahkan pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga tetapi menghadapi pelbagai cabaran seperti kos perkahwinan yang tinggi.

Ketua Jabatan Pengisian Islam, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad dan juga selaku Penerbit Eksekutif, Ruzmi Kamaruddin,  berkata, Tanyalah Ustaz: Akad 40 bersempena dengan ulang tahun TV3 tahun ini telah membuat perancangan dan persiapan dari awal tahun lagi.

"Bagi pihak TV3, kami amat berterima kasih kepada pihak penaja dan juga semua yang terlibat dalam menjayakan program ini. Kami akan terus berusaha menyiarkan program dan acara yang bermanfaat kepada penonton dan masyarakat.

"Dalam masa yang menggembirakan ini, saya turut bersimpati dengan isu yang terjadi di Palestin. Kita juga perlu bantu mengikut kemampuan kita sendiri. Pihak TV3 ada menyediakan Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima bagi sesiapa yang ingin menghulurkan sumbangan,” katanya.

Kerjasama antara TV3 dan JAWI ini mendapat kelulusan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam merealisasikan program ini. Menurut Senator Datuk Setia Dr. Hj. Mohd. Na’im Hj. Mokhtar, kolaborasi tersebut amat baik antara Media Prima Berhad bersama JAWI dalam menzahirkan usaha pemerkasaan kekeluargaan Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan menerusi penjagaan nasab keturunan yang disarankan oleh syarak menerusi lafaz ijab dan qabul sahnya ikatan perkahwinan suami isteri.

"Program ini adalah salah satu usaha untuk menonjolkan nilai-nilai rahmah dan kasih sayang dalam komuniti masyarakat.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan terus berperanan untuk menyokong program pembangunan keluarga ke arah pengukuhan pembentukan masyarakat madani," katanya.


Tanyalah Ustaz merupakan program harian yang disiarkan pada setiap pagi di TV3 dan TV9 dengan membawakan segmen-segmen yang menjadi sumber rujukan utama masyarakat Islam di Malaysia dalam mencari pencerahan tentang pelbagai aspek kehidupan Islam.

Program ini terus mendapatkan sambutan hangat daripada penonton setia dengan ahli panel yang terdiri daripada asatizah yang dihormati. Tanyalah Ustaz sentiasa membawakan perbincangan inspirasi pagi terbaik kepada anda tentang isu semasa dan ilmu berasaskan agama. - 7KLIK



[FOTO: TV3 - Terima Kasih Efendi Amir]

Post a Comment

Previous Post Next Post