Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Blackpink jadi tetamu kehormat di Istana Buckingham, Raja Charles sebut nama satu persatu



Oleh: AILEEN ADAM
KUMPULAN K-Pop tersohor, Blackpink terus melakar sejarah manis dalam perjalanan kerjaya seni mereka apabila menjadi tetamu kehormat di Istana Buckingham, London, England, pada Selasa (waktu tempatan).

Mempunyai pengaruh yang cukup besar di peringkat global, Blackpink yang dianggotai oleh Jennie, Jisoo, Rosé dan Lisa itu mengikuti jejak kumpulan Spice Girls yang pernah mendapat undangan serupa pada zaman kegemilangan mereka pada 1997, sekitar 26 tahun lalu.

Kunjungan mereka adalah bersama Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol dan isteri, Kim Keon Hee yang dalam lawatan rasmi ke negara itu.

Bersempena kunjungan tersebut, Raja Charles III dan Ratu Camilla mengadakan makan malam eksklusifdi istana untuk para tetamu istimewa.

Kehadiran Blackpink begitu dialu-alukan, malah nama setiap daripada mereka disebut satu persatu dalam ucapan rasmi Raja Charles ketika acara makan malam istana yang dihadiri 170 tetamu lain. 

Baginda juga memuji kumpulan yang baru sahaja menyelesaikan konsert jelajah dunia Born Pink mereka baru-baru ini kerana sikap positif yang sentiasa meletak prioriti dalam membawa mesej tentang alam sekitar.

“Saya memuji Jennie, Jisoo, Lisa dan Rosé, yang lebih dikenali secara kolektif sebagai Blackpink, atas peranan mereka dalam membawa mesej kelestarian alam sekitar kepada khalayak global.

"Saya juga mengagumi bagaimana mereka dapat memberikan prioriti terhadap isu-isu penting ini selain menjadi superstar dunia," titahnya yang turut menghargai Blackpink atas peranannya sebagai Duta Global Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP26) dan sebagai ‘advokat’ untuk Matlamat Pembangunan Mampan U.N.



Menerusi satu petikan video di acara itu, Jennie, Jisoo, Rosé dan Lisa dilihat seperti terkejut dan saling berpandangan sambil tersenyum malu ketika Raja Charles menyebut nama serta memberi pujian kepada mereka.

Dalam ucapan sama, Baginda turut menyebut memuji sumbangan dan pengaruh budaya Korea Selatan yang kini menyaingi British dengan mengambil beberapa contoh termasuk siri popular Squid Game, filem Bong Joon Ho, karya BTS dan lain-lain.

Usai acara tersebut, Raja Charles dilihat sempat menyapa dan berbual-bual dengan kesemua anggota Blackpink dalam keadaan yang agak santai.

Tampil penuh pesona

Pada majlis makan malam istana yang dihadiri mereka keempat-empat bintang kesayangan ramai itu tampil dengan persalinan yang cukup elegan dan menyerlahkan pesona mereka bak puteri raja.



Jennie, 27, mencuri perhatian apabila tampil dengan persalinan ala pengantin yang berlengan panjang. Gaun rona putih dengan potongan 'off-shoulder' itu dilengkapkan dengan padanan sepatu hitam yang kelihatan begitu sempurna buatnya.

Jisoo, 28, pula selesa memilih gaun hitam lengan mengembang bertekstur daripada koleksi resort, Christian Dior 2024 yang dipadankan dengan tas tangan monogram Dior daripada warna sama.

Sementara itu, Rosé, 26, kelihatan begitu manis dengan gaun baldu hitam potongan strapless. Melengkapkan penampilan klasik tersebut, bintang asal Australia itu mengenakan riben pada rambutnya.

Berbeza dengan rakan-rakannya, Lisa, 26, tampil dengan gaun warna aquamarine hasil rekaan Georges Hobeika dan dipadankan dengan rantai berlian Bvlgari.



Majlis makan malam eksklusif itu turut disertai Putera William, Kate Middleton, Perdana Menteri Rishi Sunak dan tetamu-tetamu istimewa lain.

Pada Julai lalu, artis naungan YG Entertainment itu menjadi kumpulan K-Pop pertama yang mengetuai Festival Muzik utama United Kingdom, yang diadakan di Hyde Park, London dan dihadiri lebih 65,000 penonton.  - 7KLIK


ARTIKEL LAIN: 









Post a Comment

0 Comments