DALAM dunia muzik yang semakin dipengaruhi budaya internet dan estetika visual, iiso muncul sebagai antara artis Korea Selatan yang berjaya membina identitinya sendiri. Berpangkalan di Seoul, penyanyi, penulis lagu, penerbit dan pengarah kreatif itu dikenali kerana menggabungkan muzik, fesyen serta seni visual sebagai satu bahasa kreatif yang menyeluruh.Menerusi vokal yang 'dreamy', melodi yang halus dan interpretasi moden terhadap elemen Y2K serta alternatif, iiso berjaya mencipta atmosfera tersendiri yang membezakannya daripada artis lain dalam generasinya. Kebanyakan karya yang dihasilkan turut diterbitkan sendiri penyanyi ini, termasuk aspek visual, penggayaan dan karya seni yang mengiringi setiap projek.
Kini, iiso tampil dengan single terbaharunya berjudul
Best Friend, sebuah lagu yang mengangkat emosi rumit apabila perasaan cinta mula hadir terhadap seorang sahabat rapat. Lebih istimewa, lagu tersebut diterbitkan oleh penerbit muzik antarabangsa terkenal, Mura Masa, sekali gus menjadikan kolaborasi ini antara kerjasama yang mencuri perhatian antara penerbit global dan artis solo Korea.
Best Friend menampilkan gabungan melodi yang ceria, 'hook' yang mudah melekat di ingatan serta bunyi dram yang lebih bertenaga, mencerminkan arah muzik berinspirasikan United Kingdom yang semakin diterokai oleh iiso dalam karya-karya terkininya.
Walaupun pada permukaannya lagu ini kedengaran seperti luahan perasaan yang manis dan polos, di sebalik nuansa cerah tersebut terselit kegelisahan serta kerumitan emosi yang sering hadir dalam perasaan cinta yang tidak berbalas. Lapisan emosi inilah yang menjadikan karya ini lebih daripada sekadar lagu cinta biasa.
Sentuhan Kreatif Melengkapkan Naratif
Atmosfera lagu turut diperkukuhkan menerusi proses adunan audio yang dikendalikan oleh Humming Urban Stereo (HUS). Dikenali dengan gaya bunyi yang multidimensi dan seakan mimpi, sentuhan HUS membantu memperkayakan lagi emosi serta identiti sonik yang ingin disampaikan menerusi lagu ini.
Dalam masa sama, video muzik
Best Friend menyaksikan iiso kembali bekerjasama dengan pengarah Lafic, yang sebelum ini pernah mengarahkan visual untuk single
Salad Days. Melalui pendekatan visual kemas dan penuh karakter, Lafic berjaya menyerlahkan lagi estetika unik serta identiti artistik yang menjadi kekuatan utama iiso.
Gabungan muzik teliti, visual yang tersusun dan penceritaan emosi yang dekat dengan pengalaman ramai menjadikan lagu ini sebuah karya yang memperlihatkan kematangan iiso sebagai artis.
Berada di persimpangan antara budaya muzik 'underground' Korea dan budaya internet global, iiso terus mengaburkan sempadan kreatif dalam penghasilan karyanya, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara artis generasi baharu yang paling menarik untuk diperhatikan.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments