Kempen 'Sayang, Kan?' Ajak Masyarakat Berhenti Menilai, Mulakan Memahami


OBESITI kini semakin menjadi realiti kesihatan yang tidak lagi asing dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia. Dengan lebih separuh populasi dewasa negara hidup dengan berat badan berlebihan atau obesiti, perbualan tentang kesihatan kini perlu bergerak melangkaui stigma dan tanggapan lama.

Di tengah realiti ini, Novo Nordisk Malaysia tampil dengan kempen kesedaran awam bertajuk 'Sayang, Kan?',  satu inisiatif yang mengajak masyarakat melihat semula cara kita memahami dan berbual tentang obesiti, dengan pendekatan yang lebih berempati, berasaskan sains dan tidak menghakimi.

Diinspirasikan daripada ungkapan harian yang cukup dekat dengan rakyat Malaysia, kempen ini membawa mesej mudah tetapi mendalam di mana jika kita benar-benar sayang seseorang, adakah kita cukup prihatin untuk bertindak demi kesihatannya?

Dalam banyak perbualan harian, obesiti sering dikaitkan dengan soal kemahuan atau disiplin. Namun menurut pakar kesihatan yang terlibat dalam kempen ini, realitinya jauh lebih kompleks. Obesiti kini diiktiraf sebagai penyakit kronik yang dipengaruhi oleh faktor biologi, termasuk kesan terhadap kesihatan kardiovaskular. Ia juga berkait rapat dengan proses dalaman tubuh yang mempengaruhi selera makan dan keseimbangan tenaga, bukan sekadar pilihan gaya hidup.

Salah satu konsep yang sering disalah faham ialah 'food noise' iaitu  keadaan apabila seseorang mengalami pemikiran berterusan tentang makanan yang didorong oleh isyarat biologi dalam otak. Keadaan ini boleh menjadikan proses mengawal berat badan lebih mencabar, walaupun individu tersebut mempunyai disiplin yang tinggi.

Dalam masa sama, pakar turut menekankan bahawa pengurusan obesiti bukan hanya tertumpu kepada angka pada penimbang, tetapi juga kepada lokasi lemak dalam tubuh. Lemak berlebihan di kawasan perut dan sekitar organ dalaman mempunyai kaitan rapat dengan risiko penyakit seperti diabetes, penyakit jantung dan penyakit tidak berjangkit lain.

Dari Stigma kepada Kesedaran Kesihatan

Kempen 'Sayang, Kan?' turut menekankan kepentingan perubahan perspektif dalam masyarakat daripada melihat obesiti sebagai isu penampilan, kepada memahami ia sebagai isu kesihatan yang memerlukan perhatian awal dan sokongan perubatan.

Perbualan yang berasaskan belas ihsan dan sains dilihat penting bagi menggalakkan individu mendapatkan bantuan lebih awal, tanpa rasa takut atau stigma. Apabila seseorang berasa disalahfahami, mereka cenderung menangguhkan rawatan, sekali gus memberi kesan kepada kesihatan jangka panjang.

Seiring dengan itu, pelbagai pihak kesihatan menekankan kepentingan intervensi awal dan pendekatan rawatan yang lebih menyeluruh, termasuk sokongan gaya hidup, rawatan perubatan serta pendekatan klinikal lain yang bersesuaian.


Pengalaman individu yang hidup dengan obesiti turut memperlihatkan realiti ini dengan lebih jelas. Ada yang berkongsi bagaimana salah faham terhadap diri sendiri dan makanan boleh memberi tekanan emosi, sebelum akhirnya memahami bahawa keadaan seperti 'food noise' mempunyai asas biologi dan bukan semata-mata kegagalan peribadi.

Kesedaran ini membuka ruang kepada pendekatan yang lebih lembut terhadap diri sendiri, serta keberanian untuk mendapatkan sokongan profesional sebagai sebahagian daripada perjalanan kesihatan.

Dari sudut kesihatan awam, usaha membina persekitaran yang lebih selamat untuk perbualan tentang obesiti dilihat sebagai langkah penting dalam menangani penyakit tidak berjangkit di Malaysia. Apabila komunikasi lebih terbuka dan tidak menghakimi, masyarakat lebih cenderung untuk mendapatkan rawatan lebih awal.

Kempen ini mengangkat mesej yang cukup dekat dengan kehidupan seharian: menjaga kesihatan bukanlah tentang menyalahkan diri sendiri, tetapi tentang memahami tubuh dengan lebih baik serta membuat pilihan yang lebih sedar.

Pada masa sama, ia mengingatkan bahawa perubahan dalam cara kita melihat kesihatan boleh bermula dengan satu soalan ringkas tetapi bermakna — 'Sayang, kan?' - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments