Hot Posts

6/recent/ticker-posts

BERJAYA DALAM PERNIAGAAN, ZOEY RAHMAN TETAP MAHU AKTIF BERLAKON, MENGACARA




PELAKON,  Pengacara dan juga usahawan -  Zoey Rahman memanjatkan rasa Syukur kerana apa yang diusahakan dari bawah selama ini mula membuahkan hasil.

Perniagaan rangkaian produk kecantikan dan penjagaan kulit  yang mula diusahakan sejak sekitar tahun 2018 – MikaSeries telah memasuki hampir 110 cawangan Watsons seluruh Malaysia.

“Saya amat bersyukur dan kadang rasa nak menangis bila membayangkan betapa sukarnya sewaktu saya memulakan perniagaan ini dulu. Berbekalkan modal yang saya kumpul hasil keringat berlakon dan mengacara, saya gunakan untuk memulakan Mikaseries secara perlahan lahan.

“Waktu itu hanya saya, pengurus saya dan bantuan seorang sahabat yang mahir tentang laman web dan grafik, kami gerakkan perniagaan ini. Alhamdulillah walaupun masih merangkak Mikaseries berjaya ketahap ini," ujarnya.

Pun begitu, Zoey mengakui masih banyak lagi yang harus dipelajari untuk terus memajukan perniagaan dan meneroka peluang baharu pada masa akan datang.

“Sebenarnya saya masih rasa di tahap merangkak kerana banyak benda yang saya ingin capai dalam perniagaan.

“Cuma kadang saya rasa sedikit terkilan kerana perjalanan perniagaan saya ini seolah tidak dipandang oleh pihak kerajaaan atau badan yang menatakelola bantuan geran perniagaan dan sebagainya.

“Bohonglah kalau saya kata tidak memerlukan bantuan mereka, kerana saya nak kembangkan perniagaan ke peringkat lebih tinggi,” katanya. 


Zoey turut melahirkan rasa gembira kerana produk kosmetik pertama keluaran Syarikatnya, Mikaglo – Tinted Glowing Powder  telah mendapat pengiktirafan baru-baru ini  sebagai Most Wanted Produk (In Recognition Of The Products Outstanding Performance In Watsons) sewaktu acara Watsons HWB Awards 2023.

“Pengiktirafan ini buat saya rasa bangga kerana produk tempatan berjaya bersaing dengan produk produk antarabangsa yang berada di dalam senarai jualan di Watsons seluruh Malaysia.

“Selain itu juga Mikaseries baru sahaja melancarkan produk penjagaan kulit  yang terdiri daripada Serum, Moisturizer dan Sunscreen spf 50+ ” di Watsons," jelasnya.

Bercakap tentang kerjaya seni, Zoey yang pernah mengacarakan program kanak kanak No.1 di Malaysia -  Gerak Geri gasing di Astro Ceria suatu ketika dulu, mengakui masih minat dan aktif dalam bidang lakonan dan pengacaraan, meski sibuk menguruskan perniagaan.

“Saya masih aktif dan minat untuk meneruskan kerjaya lakonan dan pengacaraan. Cuma masalahnya ialah tanggapan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa saya dah jadi usahawan tak nak berlakon lagi dan nanti bayaran mesti nak minta tinggi.

“Jujur saya katakan di sini, kerjaya lakonan dan pengacaraan masih menjadi keutamaan saya kerana saya sangat meminati dan masih sayang kerjaya ini. Oleh itu saya berharap pihak produksi atau mana-mana pihak yang ingin panggil saya berlakon atau menjadi pengacara tidak perlu bimbang. 

“Saya masih ingin teruskan kerjaya lakonan saya dan tentang bayaran, saya masih Zoey Rahman yang sama dan tidak pernah meletakkan bayaran tinggi pun setiap kali saya mendapat tawaran berlakon atau pengacaraan," katanya yang mengakui rindu untuk muncul sebagai pengacara di kaca Televisyen.


TRIVIA PENGIKTIRAFAN ZOEY RAHMAN

  • Best Unisex Cosmetic Product Made Of The World Excellence Awards 2022 (Anjuran Niaga Times)
  • Male Celebrity Entrepreneur SME & Entrepreneurs Business Awards 2023 (Seba Awards)
  • Celebrity Entrepreneur Of The Year Malaysia Best Business Awards 2023
  • Mikaseries Sdn Bhd – Shortlisted Participant Of Malaysia Top E – Commerce Merchant Awards 2023 Sidec Malaysia Top Ec Merchant Awards
  • Most Wanted – Tinted Glowing Powder Mikaseries Mikaglo Watsons Hwb Awards 2023

 



Post a Comment

0 Comments