Rasuah, Pengkhianatan & Darah — Gayong 2 Lebih Berani Dari Jangkaan

Faizal Ishak (tengah) bersama barisan pelakon filem Gayong 2

Oleh: ZULQARNAIN ABU HASSAN
FILEM Gayong 2 tampil dengan pendekatan berbeza, apabila naskhah ini tidak lagi hanya memaparkan dunia persilatan semata-mata, tetapi menyelami konflik dalaman seorang pendekar dalam dunia yang dipenuhi manipulasi kuasa.


Kali ini, penonton dibawa menyelami sisi manusiawi Meor Abdul Rahman, bukan sekadar kehebatan silatnya, tetapi pergolakan jiwa seorang lelaki yang terperangkap antara prinsip dan realiti.

Sebagai seorang pegawai CID, watak Meor berdepan realiti pahit apabila keadilan tidak sentiasa berpihak kepada kebenaran.

Dalam dunia yang sepatutnya mempertahankan undang-undang, wujud kuasa-kuasa tersembunyi yang memanipulasi sistem demi kepentingan sendiri. Di sinilah bermulanya konflik yang menjadikan perjalanan Meor jauh lebih berat berbanding sebelumnya.

Penerbit Eksekutifnya, Khairul Anuar Latip, melihat kisah ini sebagai refleksi terhadap sistem yang sering menguji prinsip seseorang individu.

“Filem ini masih berpaksikan kepada kehidupan sebenar Datuk Meor Abdul Rahman khususnya nilai, prinsip dan pilihan hidupnya.

“Namun begitu, ia dipersembahkan dalam pendekatan dramatik dan sinematik. Ia bukan dokumentari, tetapi sebuah karya yang mengangkat konflik kuasa dan tekanan emosi yang wujud dalam dunia sebenar ketika itu,” ujarnya.

Berlatarkan Tanah Melayu pasca perang, filem ini memaparkan sebuah dunia yang kelihatan stabil di permukaan, namun sebenarnya sarat dengan ancaman tersembunyi.

Penonton dibawa menyelami bagaimana jenayah kongsi gelap dan rasuah boleh berakar dalam sistem yang sepatutnya melindungi masyarakat, sekali gus menjadikan perjuangan menentang kejahatan jauh lebih kompleks daripada sekadar pertarungan fizikal.

Melawan Dari Dalam Sistem

Khairul menekankan bahawa kisah ini sebenarnya menggambarkan keberanian menentang kejahatan dari dalam sistem itu sendiri, sesuatu yang jarang diketengahkan, tetapi sangat relevan.

“Dalam sejarah hidup Meor, ada satu fasa yang sangat menarik dan relevan iaitu apabila dia memilih untuk menentang kejahatan dari dalam sebuah sistem.

“Gayong 2 lahir daripada keinginan untuk menceritakan perjuangan yang lebih kompleks ini, tentang bagaimana seseorang yang berpegang pada prinsip diuji apabila kebenaran itu sendiri menjadi ancaman,” jelasnya.

Beto Kusyairy kembali menghidupkan watak Meor dengan nuansa yang lebih kompleks, memperlihatkan sisi emosi yang lebih mendalam berbanding filem pertama.

Kali ini, Beto bergandingan bersama Nabila Huda dan Syafie Naswip, sementara barisan pelakon seperti Fauzie Laily, Bobby Tonelli, Rabbit Chen, Hanna Aqeela dan Ayez Shaukat turut memperkukuh naratif filem ini.



Naskhah arahan Faisal Ishak ini memberi fokus utama kepada emosi, sekali gus menjadikan setiap keputusan yang dibuat oleh watak utama terasa berat, berisiko dan penuh dengan pertaruhan harga diri.

Faisal sendiri menyifatkan filem ini sebagai sebuah perjalanan emosi yang menyentuh soal harga diri dan tanggungjawab.

“Kalau dalam filem pertama lebih menjurus kepada memperkenalkan dunia dan semangat persilatan, Gayong 2 pula menyelami harga yang perlu dibayar untuk mempertahankan keperibadian dan harga diri.

“Ia bukan sekadar aksi, tetapi tentang identiti dan maruah,” katanya.

Gayong 2 bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 9 April 2026, dan naskhah ini dijangka memberikan pengalaman yang lebih mendalam kepada penonton. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments