JENAMA kopi premium terkenal, Nespresso, mengumumkan pelantikan bintang pop global, Dua Lipa sebagai Global Brand Ambassador mereka, sekali gus menandakan permulaan fasa baharu buat jenama tersebut.
Selepas lebih 40 tahun mengubah cara dunia menikmati kopi, Nespresso terus melangkah ke hadapan dengan pendekatan lebih berani, kali ini bersama salah satu ikon budaya paling berpengaruh generasi masa kini.
Dua Lipa, 31, bukan sahaja dikenali melalui bunyi muziknya yang tersendiri dan persembahan pentas yang bertenaga, malah turut diiktiraf sebagai pencetus trend moden dalam dunia fesyen dan budaya pop.
Personalitinya yang sentiasa berkembang, penuh rasa ingin tahu dan berani bereksperimen dilihat selari dengan nilai yang menjadi teras kepada identiti Nespresso.
Di luar dunia muzik, Dua turut membina ruang kreatif yang memberi fokus kepada penceritaan, pemerkasaan kreativiti, penemuan budaya dan juga ritma kehidupan harian.
Melalui buku yang diperkenalkan serta perbualan yang dimulakan olehnya, dia sering mengajak orang ramai untuk meluangkan masa berfikir, berhubung dan menghargai momen kecil, sesuatu yang selari dengan komitmen Nespresso terhadap kreativiti dan budaya.
Berkongsi tentang kerjasama ini, penyanyi Britain-Albania itu berkata dirinya merasakan seolah-olah membesar bersama Nespresso.
“Sentiasa ada mesin Nespresso berdekatan saya, di rumah bersama keluarga, di set penggambaran atau di bilik hotel. Jadi bekerjasama dengan mereka adalah keputusan yang sangat mudah.
“Saya suka bagaimana mereka sentiasa meneroka perisa baharu dan mencari cara untuk terus berkembang sebagai jenama. Bekerjasama dengan mereka sangat menyeronokkan dan ini baru permulaan,” katanya.
Kempen Global Baharu Bakal Dilancarkan
Sejak sekian lama, Nespresso mempunyai hubungan rapat dengan dunia seni dan hiburan, sering meraikan detik inspirasi di mana idea tercetus dan rutin harian bertukar menjadi sesuatu yang lebih luar biasa.
Menurut Ketua Pegawai Pemasaran Nespresso, Leonardo Aizpuru, pelantikan Dua Lipa hadir pada masa yang tepat seiring arah baharu jenama itu.
“Kami sangat teruja untuk mengalu-alukan Dua Lipa ke dalam keluarga Nespresso. Dia seorang yang sentiasa ingin mencuba perkara baharu dan tenaga itu sangat sepadan dengan hala tuju jenama kami.
“Tujuan kami adalah untuk menggalakkan eksplorasi tanpa had melalui kopi yang luar biasa, dan Dua membawa cara pemikiran itu dalam gaya yang moden dan bersahaja.
“Bersama-sama, kami mahu memberi inspirasi kepada generasi baharu untuk berani mencuba rasa baharu dan menemui bagaimana momen menikmati kopi boleh menjadi sesuatu yang benar-benar istimewa,” ujarnya.
Kerjasamanya bersama pelbagai artis dari latar belakang berbeza turut memperlihatkan sifat ingin tahu, versatiliti dan komitmennya untuk terus mengembangkan horizon kreatif.
Pada 14 April ini, Nespresso akan memperkenalkan kempen global baharu dikenali sebagai Vertuo World di semua platform, menandakan permulaan era kreatif baharu untuk jenama tersebut. Kempen yang diterajui oleh Dua Lipa ini akan menampilkan interpretasi moden terhadap komitmen Nespresso terhadap eksplorasi dan pengalaman kopi premium.
Menariknya, kempen ini turut menampilkan kemunculan ringkas duta lama Nespresso, George Clooney, yang secara tidak langsung mengekalkan hubungan jenama itu dengan legasi yang telah lama terbina. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments