| Kasih Tidak Bergema, filem pendek pertama arahan Sofyank |
INDUSTRI kreatif tempatan terus diberi nafas baharu apabila Canon Marketing Malaysia menampilkan sebuah filem pendek sempena Aidilfitri berjudul Kasih Yang Tidak Bergema, karya sulung arahan pencipta kandungan kreatif terkenal, Sofyank.
Filem pendek ini bukan sekadar karya tipikal sempena perayaan, sebaliknya merupakan sebuah naskhah menyentuh emosi yang mengangkat nilai kekeluargaan, pengorbanan dan kasih sayang yang sering tidak diluahkan melalui kata-kata.
Kasih Yang Tidak Bergema membawa penonton menyelami erti sebenar kasih sayang dalam sebuah keluarga, khususnya hubungan antara ibu dan anak yang sering dipenuhi pengorbanan senyap.
Penceritaannya digarap dengan pendekatan emosi yang sederhana namun mendalam, menjadikan setiap babak terasa dekat dengan realiti kehidupan. Tanpa memerlukan dialog yang berlebihan, jalan cerita yang dipersembahkan sudah cukup untuk menyampaikan mesej tentang kasih yang tidak pernah meminta untuk difahami, tetapi sentiasa hadir tanpa syarat.
Dalam masa sama, kolaborasi ini mencerminkan usaha berterusan Canon dalam menyokong dan memupuk bakat tempatan, khususnya dalam kalangan pencipta kandungan digital yang ingin melangkah ke dunia pembikinan filem.
Sokongan yang diberikan bukan sahaja dari segi teknologi, tetapi turut membuka ruang kepada penceritaan yang lebih besar dan sinematik, sekali gus membantu karya tempatan mencapai kualiti visual yang lebih tinggi dan setanding produksi profesional.
Membawa Cerita, Bukan Sekadar Visual
Bagi Sofyank, projek ini menjadi titik perubahan penting dalam perjalanan seninya apabila buat pertama kali memegang peranan sebagai pengarah dan mengemudi penceritaan yang berteraskan emosi, berbeza daripada kandungan berunsurkan kesan visual (VFX) yang sinonim dengan dirinya sebelum ini.
Peralihan daripada pencipta kandungan digital kepada pembikin filem memperlihatkan dimensi baharu dalam kreativitinya, sekali gus membuktikan keupayaannya untuk menyampaikan cerita dengan pendekatan yang lebih matang dan berlapis.
Sofyank yang baru-baru ini diangkat daripada gelaran Canon EOS Master kepada EOS Filmmaker, menganggap peranan baharu itu membuka ruang untuknya meneroka naratif pembikinan filem yang lebih luas serta menzahirkan emosi lebih mendalam dan kompleks menerusi karya.
“Pengalaman mengarah ‘Kasih Yang Tidak Bergema’ merupakan satu pencapaian yang amat bermakna bagi saya. Ia memberi ruang kepada saya untuk meneroka naratif yang lebih mendalam dan berkembang sebagai seorang pembikin filem.
“Saya amat menghargai sokongan Canon dalam perjalanan ini, dan kerana sudi menyediakan alatan terbaik untuk saya meneroka fasa kreatif seterusnya,” katanya.
Kasih Yang Tidak Bergema menyelami makna kasih seorang ibu yang tidak selalu dizahirkan melalui kata-kata atau belaian, tetapi hadir melalui pengorbanan dan doa yang tidak pernah putus.
Jalan ceritanya berkisar tentang seorang anak yang sering terlepas pandang pengorbanan ibunya, sehinggalah satu peristiwa membuka mata dan menyedarkannya tentang kasih sayang yang selama ini hadir dalam bentuk yang paling sederhana, namun paling bermakna.
Filem ini mengingatkan bahawa kasih sayang tidak semestinya diungkapkan, sebaliknya dizahirkan melalui tindakan kecil yang memberi makna besar dalam sebuah hubungan keluarga.
| Di sebalik tabir penggambaran 'Kasih Yang Tidak Bergema' |
Dari sudut teknikal, filem pendek ini dirakam sepenuhnya menggunakan kamera Canon EOS C50, memperlihatkan keupayaan teknologi pengimejan moden dalam membantu penceritaan visual yang lebih sinematik dan beremosi.
Keupayaan kamera ini dalam merakam butiran visual serta ekspresi halus watak membantu menghidupkan lagi penceritaan yang sarat dengan emosi, sekali gus memberikan pengalaman tontonan yang lebih mendalam kepada penonton.
Secara keseluruhannya, projek ini bukan sahaja menandakan permulaan baharu buat Sofyank sebagai pengarah, tetapi juga menjadi bukti bagaimana kerjasama antara jenama teknologi dan pengkarya tempatan mampu menghasilkan karya yang bukan sahaja indah secara visual, malah memberi kesan emosi kuat.
Inisiatif seperti ini secara tidak langsung membuka lebih banyak peluang kepada karyawan Malaysia untuk terus berkembang, membawa cerita tempatan ke pentas yang lebih luas dan memperkukuhkan lagi landskap industri kreatif negara. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments