| Anderson bersama barisan pelakon filem One Battle After Another ketika menerima trofi Filem Terbaik |
NASKHAH One Battle After Another melakar sejarah manis apabila dinobatkan Filem Terbaik pada Anugerah Akademi (Oscar) Ke-98 yang berlangsung di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) pada Isnin.
Filem arahan Paul Thomas Anderson itu mengatasi saingan hebat lain termasuk Sinners, Hamnet, Bugonia, F1, Frankenstein, Marty Supreme, The Secret Agent, Sentimental Value dan Train Dreams.
Lebih bermakna apabila Anderson, 55, juga diumumkan sebagai Pengarah Terbaik dan Skrip Adaptasi Terbaik menerusi karya sama.
“Sentiasa ada sedikit keraguan dalam hati anda sama ada anda benar‑benar layak, tetapi tiada pertikaian terhadap kegembiraan memiliki trofi ini. Saya berada di sini kerana kepercayaan orang lain terhadap diri saya. Mereka beri saya keyakinan dan masa. Bagi saya, itu adalah bahagian terbaik apabila bekerja dengan kru filem,” katanya ketika menerima trofi.
Kejayaan One Battle After Another turut diserlahkan lagi dengan kemenangan Sean Penn dalam kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, walaupun aktor veteran itu tidak hadir pada majlis tersebut.
Filem yang mengangkat tema ekstremisme di Amerika Syarikat secara intensif dan relevan ini juga memenangi dua lagi kategori iaitu Suntingan Terbaik dan Pemilihan Pelakon Terbaik (Casting).
Terdahulu filem yang turut menampilkan Leonardo DiCaprio dan Teyana Taylor itu menerima 13 pencalonan dalam pelbagai kategori, selain meraih beberapa kemenangan dalam beberapa anugerah filem tahun ini.
| Trofi Pelakon Wanita dan Lelaki Terbaik menjadi milik Jessie Buckly dan Michael B. Jordan |
| Golden dari KPop Demon Hunters menang kategori Lagu Asal Terbaik |
Jessie Buckley pula melakar sejarah peribadi apabila dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik menerusi lakonan hebatnya dalam Hamnet. Pelakon kelahiran Ireland itu menyifatkan kemenangan itu cukup istimewa buatnya kerana diumumkan pada sambutan Hari Ibu di United Kingdom.
“Saya ingin mendedikasikan kemenangan ini kepada semua yang bergelar ibu. Kita semua hadir dengan pengorbanan seorang wanita walaupun menghadapi segala kemungkinan,” ujarnya penuh emosi.
Buckley menewaskan beberapa nama besar lain termasuk Rose Byrne (If I Had Legs I'd Kick You), Kate Hudson (Song Sung Blue), Renate Reinsve (Sentimental Value) serta Emma Stone (Bugonia).
Bagi kategori Pelakon Pembantu Wanita terbaik pula menjadi milik aktres veteran, Amy Madigan (Weapons).
Turut mencuri tumpuan adalah kemenangan filem animasi KPop Demon Hunters, yang bukan sahaja dinobatkan sebagai Filem Animasi Terbaik, malah lagu temanya, Golden juga memenangi kategori Lagu Asal Terbaik.
Ikuti senarai penuh pemenang di laman rasmi Anugerah Akademi Ke‑98. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments