DUNIA fesyen Korea Selatan bakal digegarkan dengan kehadiran program realiti baharu yang menumpukan sepenuhnya pada kreativiti dan gaya, apabila Style Wars (tajuk sementara) diumumkan sebagai siri survival fesyen eksklusif di Disney+.
Program ini bakal menghimpunkan seramai 72 fashionista dari seluruh Korea Selatan, masing-masing dengan latar belakang dan pengalaman berbeza, namun berkongsi satu matlamat yang sama iaitu untuk membuktikan mereka layak bergelar ikon fesyen generasi baharu.
Sepanjang pertandingan, para peserta akan berdepan pelbagai cabaran berintensiti tinggi yang menguji kreativiti, kemahiran teknikal serta identiti gaya peribadi mereka, sekali gus menyingkirkan peserta secara berperingkat sehingga hanya yang terbaik dinobatkan sebagai pemenang.
Menariknya, rancangan ini tidak hanya menampilkan pereka atau individu dari industri fesyen semata-mata, tetapi turut membuka peluang kepada pelbagai peserta dari latar belakang berbeza termasuk penggemar fesyen, pelajar kolej, pesara, influencer, amatur dan juga profesional.
Kepelbagaian ini dijangka memberi warna berbeza kepada pertandingan, selain memperlihatkan bagaimana fesyen boleh menjadi medium ekspresi tanpa mengira usia atau kerjaya.
Rancangan ini akan dihoskan oleh pelakon serba boleh, Hyeri, yang cukup dikenali dalam industri hiburan Korea. Kehadirannya sebagai hos dijangka membawa tenaga dan daya tarikan tersendiri kepada program ini.
Hasil rekaan para peserta pula akan dinilai oleh barisan juri yang terdiri daripada nama-nama berpengaruh dalam dunia fesyen iaitu bekas supermodel Hong Jingkyung, pereka jenama terkenal Jung Wookjun, bekas model Bae Jungnam serta stylist terkenal Choi Hee Seung yang lebih dikenali sebagai Stylist Unnie.
Style Wars diterbitkan oleh Kim Nahyun, Jung Jongchan dan Kim Hyein dari Shijak Company, manakala skrip ditulis oleh Youn Shinhye.
Program ini merupakan antara judul terbaharu yang diumumkan sebagai sebahagian daripada barisan kandungan Korea bertaraf antarabangsa yang bakal ditayangkan di platform penstriman tersebut, sekali gus memperkukuhkan lagi pengaruh global kandungan hiburan Korea.
Siri realiti survival
Style Wars dijadualkan untuk ditayangkan pada penghujung tahun ini secara eksklusif di Disney+, dan maklumat lanjut mengenai program ini dijangka akan diumumkan dalam masa terdekat.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments