FEBRUARI ini, musim sejuk terasa lebih hangat dengan drama romantik In Your Radiant Season, yang bakal bersiaran di Disney+.
Drama yang akan menemui pennton pada 20 Februari ini menjanjikan kisah cinta menyentuh hati sambil menghidupkan nostalgia dan emosi masa lalu.
Kisah ini mengikuti Seonu Chan lakonan Chae Jonghyeop, seorang animator di sebuah studio animasi global, yang secara tidak disangka bertemu semula dengan Song Haran (Lee Sungkyoung), wanita dari masa lalunya.
Haran, yang dahulu ceria dan menjadi penyemangat Chan dalam mengharungi cabaran hidup, kini berubah menjadi seorang yang dingin dan menutup hati sepenuhnya daripada orang sekeliling.
Chan, dengan penuh tekad, cuba menembusi tembok yang Haran bina. Setiap langkah kecil yang berjaya mendekati hati Haran membuka kembali ruang kehangatan yang pernah wujud di antara mereka. Konflik, nostalgia, dan tawa bercampur, menjadikan setiap pertemuan mereka menarik untuk diikuti.
Naskhah ini ditulis oleh Cho Sunghee dan diarahkan oleh Jung Sanghee, kedua-duanya berpengalaman dalam menghasilkan cerita yang menyentuh emosi penonton.
In Your Radiant Season merupakan salah satu daripada siri Korea menarik yang dijadualkan untuk tayangan di Disney+ sepanjang tahun 2026. Ia menandakan salah satu koleksi drama romantik terkini yang membawakan kisah cinta, komedi, dan drama yang seimbang, sesuai untuk ditonton sendirian mahupun bersama orang tersayang.
Dengan kombinasi pelakon berbakat, jalan cerita penuh emosi, serta produksi rapi, drama ini menjanjikan pengalaman tontonan yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga menyentuh hati.
Saksikan In Your Radiant Season bermula 20 Februari di Disney+ dan biarkan kisah cinta ini menghangatkan musim sejuk anda. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments