TAYANGAN perdana filem web perayaan terbaharu terbitan MR D.I.Y. Malaysia, Raya Sama-Sama, menyemarakkan sambutan Aidilfitri 2026 dengan kisah hangat dan penuh warna.
Naskhah ini mengetengahkan kemaafan, kebersamaan, serta ikatan budaya yang dikongsi antara Malaysia dan Indonesia, sambil menyentuh hati penonton.
MR D.I.Y. sekali lagi membawakan tema perayaan dekat di hati penonton melalui kisah universal penuh mesej kebersamaan, sambil mengekalkan tradisi menghasilkan naskhah perayaan yang mudah dihayati dan sesuai untuk tontonan keluarga.
Filem berdurasi kira-kira lima minit ini menampilkan penyanyi Alif Satar sebagai watak utama, bergandingan dengan bintang Indonesia, Teuku Wisnu dan Shireen Sungkar.
| Alif Satar, Teuku Wisnu dan Shireen Sungkar bintangi filem web Raya MR D.I.Y., 'Raya Sama-Sama' | FOTO: MR D.I.Y. |
Raya Sama-Sama mengisahkan perjalanan Izzat, lakonan Alif Satar, seorang profesional Malaysia yang bekerja di Indonesia terkandas di negara itu menjelang Aidilfitri. Namun ribut kuat yang melanda menyebabkan perjalanannya untuk pulang Malaysia tergendala, sekali gus memusnahkan harapannya untuk kembali ke tanah air bagi menyambut kelahiran anak sulung bersama isterinya.
Tanpa pilihan lain, Izzat terpaksa menerima pelawaan untuk menumpang di rumah rakan sekerjanya, Rian (Teuku Wisnu) dan isterinya (Shireen Sungkar), walaupun permulaan mereka diwarnai salah faham dan kekecohan. Walaupun bermula dengan canggung, Izzat akhirnya menemui sisi tersembunyi Rian yang penuh keikhlasan dan kebaikan.
Filem ini memuncak dengan momen pendamaian yang menyentuh hati apabila Izzat menerima khabar gembira kelahiran anaknya, membuktikan bahawa walaupun tradisi berbeza merentasi sempadan, semangat Aidilfitri kekal universal.
Persahabatan & Nilai Sejagat
Selain kisah emosi, filem ini menonjolkan persamaan budaya antara Malaysia dan Indonesia, sambil menekankan nilai kebersamaan dan empati.
Raya Sama-Sama mengingatkan penonton bahawa di sebalik segala kekalutan dan cabaran, Aidilfitri adalah masa untuk menghargai kehangatan keluarga, sahabat, dan tradisi yang menyatukan hati.
Filem web ini kini boleh ditonton di saluran media sosial rasmi MR D.I.Y. Malaysia. Sejak pelancarannya, naskhah ini telah menerima sambutan luar biasa dengan mencatat lebih 6 juta tontonan dalam beberapa hari, membuktikan ia berjaya menyentuh hati penonton merentas sempadan. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments