| Zul bawakan watak Archie dalam GOAT edisi Malaysia | FOTO: Sony Pictures Entertainment |
PELAKON aksi terkenal tanah air, Zul Ariffin sekali lagi membuka lembaran baharu dalam perjalanan kerjayanya apabila dipilih sebagai penyumbang suara di sebalik watak Archie dalam versi bahasa Inggeris edisi Malaysia bagi filem animasi aksi komedi, GOAT.
Kolaborasi yang diumumkan oleh Sony Pictures Malaysia ini membawa dimensi berbeza kepada filem antarabangsa tersebut apabila sentuhan tempatan diperkenalkan melalui suara pelakon Malaysia sendiri.
Bagi Zul, 41, pengalaman ini menandakan satu perubahan menarik daripada dunia aksi lasak yang selama ini sinonim dengan namanya kepada ruang baharu iaitu lakonan suara animasi.
Selama bertahun-tahun, figura kelahiran Taiping, Perak itu dikenali melalui karakter heroik di layar perak, namun projek ini menyaksikan Zul melangkah masuk ke bilik rakaman bagi menghidupkan watak Archie yang berani, penuh tenaga dan memiliki aura dominan.
Walaupun ia menampilkan barisan pelakon antarabangsa yang hebat, versi khas ini hanya tersedia di Malaysia, sekali gus memberikan pengalaman unik kepada penonton tempatan.
Lebih menarik, projek ini juga menjadi pengalaman pertama Zul meminjamkan suaranya kepada watak animasi dalam bahasa Inggeris. Pencapaian tersebut secara tidak langsung meletakkan dirinya sebagai antara pelakon Malaysia terawal yang menyertai barisan pelakon Hollywood dalam projek animasi antarabangsa.
Di sebalik kolaborasi ini juga, pihak Sony Pictures Malaysia turut menyatakan keyakinan bahawa Zul merupakan pilihan paling tepat untuk membawa karakter Archie kepada penonton tempatan.
Menurut wakil studio tersebut, personaliti aktor itu dilihat mempunyai persamaan semula jadi dengan watak yang dilakonkannya iaitu kuat, bertenaga dan memiliki karisma tersendiri.
Impian Besar Dalam Dunia Sukan Yang Luar Biasa
Filem GOAT diterbitkan oleh legenda NBA, Stephen Curry bersama barisan kreatif daripada studio yang menghasilkan Spider-Man: Across the Spider-Verse.
Naskhah animasi ini membawa penonton ke dalam sebuah dunia unik yang dihuni sepenuhnya oleh haiwan, sekali gus mencipta latar penuh imaginasi bagi kisah sukan yang penuh aksi dan humor.
Cerita berpusat kepada seekor kambing kecil bernama Will yang menyimpan impian besar untuk menembusi liga profesional dalam sukan roarball iaitu sebuah permainan berintensiti tinggi yang menggabungkan kekuatan fizikal, kepantasan serta perlawanan sentuhan penuh antara pemain lelaki dan wanita.
Walaupun kehadiran seekor kambing kecil pada awalnya dipandang skeptikal oleh rakan sepasukannya, Will tetap berusaha membuktikan bahawa keberanian dan semangat mampu mengatasi segala keraguan.
Perjalanan itu bukan sahaja mencabar status quo dalam dunia sukan tersebut, malah membawa mesej bahawa saiz bukanlah penghalang untuk mencipta kejayaan.
Filem arahan Tyree Dillihay bersama Adam Rosette ini turut diinspirasikan daripada buku Funky Dunks karya Chris Tougas, dengan skrip ditulis oleh Aaron Buchsbaum dan Teddy Riley.
Selain menampilkan suara Caleb McLaughlin, filem ini turut dibarisi nama besar seperti Gabrielle Union, Nicola Coughlan, Nick Kroll, David Harbour, Patton Oswalt, Bobby Lee dan Jennifer Hudson.
GOAT dijadualkan menemui penonton secara eksklusif di pawagam seluruh Malaysia bermula 19 Mac, dan versi edisi Malaysia yang menampilkan suara Zul Ariffin dijangka memberikan pengalaman berbeza buat peminat tempatan yang ingin melihat bintang aksi kegemaran mereka bersinar dalam dunia animasi antarabangsa. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments