Iskandar Ismail Juara GV12, Bawa Pulang RM100,000


PENYANYI asal Singapura, Iskandar Ismail, menepati ramalan ramai apabila dinobatkan sebagai juara Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) pada konsert malam kemuncak yang berlangsung secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), pada malam Ahad.

Kemenangan itu sekali gus melayakkan Iskandar yang juga peserta paling konsisten sepanjang 12 minggu musim pertandingan membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM100,000 berserta trofi.

Pada pentas akhir, Iskandar tampil cemerlang dalam segmen solo menerusi lagu Madah Berhelah, nyanyian asal Ziana Zain, sebelum bergandingan dengan Jaclyn Victor dalam persembahan duet yang penuh penghayatan menerusi lagu Senja Nan Merah (Datuk Awie dan Ziana Zain). Keupayaannya mengawal vokal serta emosi lagu menerima reaksi positif daripada barisan juri dan penonton.

Persembahannya pada segmen ‘battle’ bergandingan bersama Nubhan dan Mell Sakura menerusi lagu Cerita Kedai Kopi (Malique & DJ Fuzz featuring Salam Music) dan Pink Venom (Blackpink) turut berjaya menghiburkan penonton.

“Pertama kali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ketiga-tiga juri yang sangat bertauliah. Saya harap kepada semua janganlah kita ada sikap kebencian antara satu sama lain.

“Terima kasih beri peluang kepada saya untuk sertai GV12. Juga kepada pihak pengurusan saya iaitu Mind Order yang membawa saya ke sini. Terima kasih kepada isteri saya yang berada di sini dan buat peminat semua yang tak henti-henti memberikan sokongan,” katanya selepas diumumkan sebagai juara.

Sementara itu, kumpulan dari Indonesia, Mendua yang dianggotai Hendra Purnanto (Pungky), Marisha Friska Halauwet (Sasha) dan Diana Puspitasari (Diana), muncul sebagai naib juara dan membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 berserta trofi.


Tempat ketiga pula menjadi milik Nubhan dengan hadiah wang tunai RM30,000 berserta trofi. Sementara Mark Adam, Mell Sakura dan Ruri Repvblik masing-masing menamatkan saingan di tempat keempat, kelima dan keenam, dengan hadiah wang tunai RM20,000, RM15,000 dan RM10,000 berserta trofi.

Pada pentas akhir, barisan finalis beraksi menerusi tiga tugasan utama iaitu persembahan solo, duet bersama penyanyi jemputan serta segmen ‘battle’ antara peserta.

Kesemua persembahan dinilai sepenuhnya oleh barisan juri profesional yang terdiri daripada Datuk Ramli MS, Datuk Syafinaz Selamat dan Hetty Koes Endang.

Pentas akhir turut dimeriahkan dengan kehadiran barisan penyanyi jemputan yang terdiri daripada Datuk Seri Rossa, Aina Abdul, Marsha Milan, Fadly Padi dan Sunu Matta Band yang bergandingan bersama peserta dalam segmen duet. Kesemua penyanyi jemputan ini turut mempersembahkan persembahan solo bagi menghiburkan penonton.

Kemuncak malam turut diserikan dengan penampilan istimewa Datuk Jamal Abdillah yang menyampaikan lagu Kau Lupa Janji, sekali gus mengimbau nostalgia peminat muzik tanah air.

Selain enam finalis tersebut, peserta lain yang turut beraksi dalam GV9 ialah Datuk Elaine Kang, Shy8, Korie, Rahmat Ekamatra, Krisya, Shae dan Freshies.

GV12 dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Sherry AlHadad, dan disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria (saluran 104) setiap Ahad, jam 9 malam, bermula 2 November lalu.

Markah Penuh Peserta

1. Iskandar Ismail: Madah Berhelah (Ziana Zain) - 78.10%
2. Mendua: Jika Kalau Kau Cinta (Judika) - 74.40%
3. Nubhan: Cuba (Faizal Tahir) - 70.48%
4. Mark Adam: Feeling Good (Cy Grant) - 68.65%
5. Mell Sakura: Still Into You (Paramore) - 66.08%
6. Ruri Repvblik: Hapus Aku (Nidji) - 64.73%


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments