Teh Tarik + Berita: Cara Baharu RTM Sampaikan Berita Dengan Gaya Santai


RADIO Televisyen Malaysia (RTM) terus memperkukuh peranannya sebagai penyiar awam dengan memperkenalkan segmen santai 'Teh Tarik + Berita'.

Pendekatan baharu ini bagi menyampaikan isu semasa kepada masyarakat dalam format yang lebih ringan, informatif, dan mudah dihadam, tanpa mengorbankan ketepatan dan kredibiliti berita.

Segmen ini diterbitkan oleh Bahagian Berita Ehwal Semasa dan mula bersiaran pada 12 Disember lalu. Ia menampilkan kupasan ringkas berita, isu tular, fakta menarik, serta penjelasan topik semasa dalam gaya yang mesra penonton.

Penyampaian yang santai namun bermakna ini direka untuk memberi pengalaman berita segar, selari dengan kehendak masyarakat moden yang menginginkan informasi tepat dalam bentuk lebih menarik.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha transformasi kandungan berita RTM, khususnya bagi menarik minat golongan muda. Dengan pendekatan ini, masyarakat digalakkan untuk lebih cakna terhadap perkembangan semasa dalam dan luar negara, sambil membina literasi berita dan pemikiran kritis secara semula jadi.

Konsep 'Teh Tarik + Berita' dipilih kerana ia selari dengan budaya rakyat Malaysia yang santai tetapi bermakna.

Segmen pendek ini disiarkan sebelum Berita Perdana dan Berita Tengah Malam, selain turut dipaparkan dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia, menjadikannya mudah diakses oleh pelbagai lapisan masyarakat.

RTM menjangkakan pendekatan ini akan memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap penyiaran awam negara, sambil memperkenalkan cara baharu untuk menghayati berita dengan lebih santai dan menarik.

Segmen ini bukan sekadar hiburan, tetapi juga platform untuk masyarakat memahami isu semasa dengan lebih mendalam dan kritis.  - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments