Umrah Lebih Selamat: Bengkel ‘Cegah Dulu, Ready for Umrah’ Bantu Jemaah Kekal Sihat

Dari Kiri: Shwu Yan Goh, Dr Adilah bersama Faizal Ismail, semasa bengkel Cegah Dulu, Ready for Umrah

SANOFI bekerjasama dengan Andalusia Travel & Tours untuk menganjurkan bengkel pendidikan khas yang memberi tumpuan kepada penyakit meningokokus invasif (IMD), iaitu jangkitan bakteria yang mudah tersebar dalam keadaan sesak, seperti ketika menunaikan umrah.

Bengkel ini merupakan sebahagian daripada kempen ‘Cegah Dulu, Ready for Umrah’, yang turut menampilkan pengacara popular Faizal Ismail dari Zayan FM, berkongsi pengalaman peribadinya menunaikan umrah dan panduan praktikal untuk kekal sihat sepanjang perjalanan.

IMD masih menjadi ancaman kesihatan utama dengan beberapa faktor yang menjejaskan keberkesanan pelaksanaan vaksinasi.

Antaranya ialah kadar vaksinasi yang rendah dalam beberapa sektor, serta cabaran mengesahkan bukti vaksinasi bagi jemaah yang ramai dan datang dari seluruh dunia. Situasi ini menyumbang kepada jurang perlindungan dan meningkatkan risiko tercetusnya kluster penyakit.

Pentingnya Kesedaran dan Pencegahan

Menurut Doktor Residen di Klinik Andalusia Shah Alam, Dr Adilah Haludin, Penyakit meningokokus invasif boleh memberi kesan serius, terutama kepada golongan warga tua dan mereka yang mempunyai sistem imun lemah.

"Walaupun sejarah menunjukkan ledakan jangkitan dalam kalangan jemaah, ramai masih belum sedar tentang kewujudan penyakit ini serta cara melindungi diri dan keluarga.

"Kajian menunjukkan jangkitan tinggi dalam kalangan ahli keluarga yang tidak divaksinasi, justeru kesedaran dan vaksinasi sangat penting,” ujarnya.

Bagi Pengarah Andalusia Travel & Tours, Hajah Ida Riswana Idris,  menjaga kesihatan diri dan orang sekeliling adalah sebahagian daripada tanggungjawab rohani.

“Kami komited untuk memastikan jemaah mendapat pengalaman umrah yang selamat dan bermakna, dengan penekanan terhadap isu kesihatan penting seperti IMD agar pengetahuan dan langkah pencegahan dapat diamalkan,” jelasnya.

Sementara Ketua Operasi Vaksin di Sanofi MYSG, Hui Thian Chia, pula berkata, setiap musim umrah menyaksikan ribuan jemaah Malaysia berangkat, tetapi ramai yang terlepas pandang ancaman IMD.

"Di Sanofi, pendidikan dan pemeriksaan kesihatan adalah asas kesejahteraan, dan kempen ‘Cegah Dulu, Ready for Umrah’ adalah sebahagian daripada usaha kami menekankan kepentingan vaksinasi dan langkah pencegahan,” tegasnya.

Para jemaah digesa mematuhi garis panduan kesihatan Kerajaan Arab Saudi, termasuk menunjukkan bukti vaksinasi meningokokus sekurang-kurangnya 10 hari sebelum ketibaan. Jemaah yang menerima vaksin lebih daripada lima tahun lalu disarankan untuk mendapatkan suntikan penggalak.

Bagi memastikan semua keperluan vaksinasi dan syarat lain dipenuhi, bakal jemaah dinasihatkan merujuk maklumat terkini melalui sumber rasmi dalam talian serta penyedia perkhidmatan perjalanan masing-masing, supaya perjalanan umrah bukan sahaja bermakna tetapi juga selamat dan sihat. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments