RADIO Televisyen Malaysia (RTM) terus melangkah ke hadapan dengan memperkukuh kandungan berbahasa Inggeris melalui stesen TRAXXfm.
Terbaru, stesen ini memperkenalkan segmen baharu bertajuk TRAXX Trade Talk (TTT), sebuah kerjasama penerbitan bersama Seksyen Berita Radio, Bahagian Berita Ehwal Semasa RTM yang menampilkan gabungan maklumat, analisis dan gaya santai untuk pendengar profesional moden.
Segmen ini mula bersiaran sejak 2 September 2025, namun dilancarkan secara rasmi hari ini oleh Ketua Pengarah RTM, Datuk Suhaimi Sulaiman, dalam satu majlis ringkas yang menandakan langkah baharu RTM ke arah penyiaran yang lebih inklusif dan berinformasi.
Bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat pada jam 7.45 pagi dan 6.45 petang, TRAXX Trade Talk disasarkan kepada kumpulan PMEB iaitu Professional, Manager, Executive dan Business.
Matlamatnya mudah, untuk menyampaikan ringkasan ekonomi dan pasaran yang relevan, padat, dan mudah difahami tanpa meninggalkan elemen gaya dan personaliti.
Segmen ini dikemudi oleh trio penyampai popular Double D, Otto dan Els, bersama pembaca berita radio Inggeris RTM yang membawa kepakaran mereka ke udara. Mereka akan membincangkan isu-isu ekonomi utama dan trend pasaran semasa seperti ekonomi digital, ESG serta kelestarian, inovasi, rantaian bekalan global, dan perkembangan komoditi.
Selain itu, pendengar turut mendapat kemas kini pasaran harian yang meliputi pergerakan Bursa Malaysia, prestasi Ringgit berbanding mata wang utama dunia, dan harga komoditi semasa sekali gus menjadikan segmen ini sebagai sumber pantas untuk mereka yang sentiasa mengejar perkembangan terkini.
Datuk Suhaimi menekankan bahawa inisiatif ini merupakan langkah strategik untuk memperkukuh kandungan siaran RTM agar terus relevan dan seiring keperluan pendengar masa kini, khususnya golongan profesional.
“TRAXX Trade Talk dan TRAXXfm secara khusus menjadi platform tepat bagi menjayakan transformasi RTM selaras dengan strategi digital, keterangkuman, serta kerjasama dengan industri,” jelasnya.
Dengan frekuensi 90.3 MHz di Lembah Klang dan 100.1 MHz di Selangor, TRAXXfm terus memainkan peranan penting sebagai penyiar awam yang dipercayai rakyat dalam menyampaikan kandungan berautoriti, segar dan dinamik yang bergerak seiring dengan denyut nadi ekonomi negara. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments