Hakimi akui berdepan persaingan hebat daripada finalis lain |
MALAM kemuncak Bintang Klasik 2025 di Auditorium Seri Angkasa pada Sabtu lalu benar-benar menjadi malam penuh sejarah buat Muhammad Hakimi Halili.
Hakimi berjaya menewaskan lima finalis lain dan dinobatkan sebagai juara selepas persembahan bertenaganya meninggalkan kesan yang memukau baik di hati juri mahupun penonton.
Membawakan lagu Rindu sebelum tampil dalam segmen 'battle' bersama Azmirul menerusi lagu Kasih, Peserta berusia 33 tahun itu, membuktikan bakatnya bukan calang-calang.
Kemenangan ini melayakkan Hakimi membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 beserta sebuah kereta, selain turut memenangi Persembahan Terbaik dengan hadiah bernilai RM4,000.
“Saya sangat-sangat tak jangka sebenarnya. Semua peserta sangat hebat-hebat. Mungkin ini rezeki anak saya. Alhamdulillah, saya bersyukur,” ujarnya yang bertekad untuk terus memperluas kerjaya nyanyiannya di pelbagai platform selepas ini.
Sementara itu, naib juara menjadi milik Azmirul yang membawa pulang RM12,000, manakala Syaimaa di tempat ketiga dengan ganjaran RM8,000. Tiga finalis lain ialah Ikmal, Saiful dan Ranisha di mana masing-masing menerima saguhati RM2,000.
Azmirul dan Syaimaa turut memberikan persembahan memukau. |
Bagi Ranisha, 25, mara ke pentas akhir sudah cukup menjadi pencapaian besar. Pertama kali menyertai pertandingan berprestij ini, dia menganggap pengalaman tersebut sebagai hadiah paling bermakna.
“Pengalaman ini sangat berharga untuk saya dan keluarga. Lagu-lagu klasik ada keunikan tersendiri dari segi melodi dan susunannya. Saya harap lebih ramai anak muda mendengar dan menghargai muzik klasik,” katanya yang berasal dari Labuan.
Pertandingan anjuran RTM ini menampilkan enam finalis dengan format gabungan persembahan solo dan segmen battle, memberikan warna segar kepada konsep tradisi.
Malam kemuncak turut diserikan dengan kehadiran Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa serta Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman.
Dengan tema Malam Irama Seribu Bintang, suasana bertambah meriah apabila barisan artis legenda seperti Liza Aziz, Ramlah Ram dan J. Sham tampil di pentas, diiringi pula kugiran popular masa kini, Masdo.
Perpaduan klasik dan kontemporari itu menjadikan Bintang Klasik 2025 bukan sahaja sebuah pertandingan, tetapi sebuah perayaan muzik yang penuh jiwa dan nostalgia. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments