Oleh: ZULQARNAIN ABU HASSAN
TV Sarawak (TVS) terus melangkah gagah! Dari Borneo ke seluruh Malaysia, stesen ini semakin mencuri tumpuan dengan acara eksklusif TVS Spotlight 25/26 yang baru sahaja dilancarkan baru-baru ini.
Acara itu menjadi pentas pendedahan hala tuju baharu TVS dengan menggariskan visi 2026 menerusi barisan kandungan segar merangkumi drama, hiburan, dokumentari serta liputan sukan berprestij.
Sejak pelancarannya pada 2020, TVS bukan sekadar saluran televisyen biasa. Ia muncul sebagai suara Borneo, mengangkat budaya tempatan ke pentas nasional malah serantau.
Pengerusi TVS, Datuk Norhyati Ismail, menegaskan inilah masa terbaik untuk menambah visibility jenama dan menarik rakan kongsi strategik.
“Fokus kami adalah menghubungkan Borneo dengan seluruh Malaysia. Dari Kuching ke Kuala Lumpur, semua orang akan rasa dekat dengan TVS,” ujarnya penuh keyakinan.
Selain itu, TVS juga menjanjikan barisan drama tempatan, rancangan realiti penuh warna, dokumentari unik, serta liputan acara antarabangsa termasuk Sukan SEA.
Hiburan menjadi antara tarikan utama, namun budaya Borneo kekal sebagai jiwa TVS. Dari Sarawak Regatta hingga sambutan Gawai, tradisi unik akan terus ditonjolkan untuk memikat penonton.
TVS menekankan identiti 'Truly Malaysian, proudly Borneo', dengan misi memperluaskan capaian agar budaya tempatan dapat dihayati hingga ke rantau ASEAN.
Bagi aspek komersial, TVS memperkenalkan pakej iklan 360° yang melangkaui skrin televisyen, merangkumi platform digital, sosial, dan LED billboard mega.
Kolaborasi bersama Suara Sarawak, Sarawak Tribune serta Cats FM pula mengukuhkan kedudukan TVS sebagai platform pengiklanan bersepadu yang mampu menjangkau penonton dari rumah hingga ke jalan raya, bahkan ke telefon pintar.
Lebih menarik, TVS turut menjadi medan bakat kreatif tempatan. Sehingga kini, lebih 300 vendor telah terlibat dengan lebih 3,000 peluang pekerjaan diwujudkan.
“TVS mahu membangunkan industri kreatif Malaysia. Bukan untuk sehari dua, tetapi untuk masa depan,” tambah Norhyati.
“TVS Spotlight 25/26 hanyalah permulaan. Kami mahu industri penyiaran lebih inklusif, dinamik, dan berimpak tinggi,” tegas Norhyati lagi.
Dengan semangat baharu, strategi mantap, serta kandungan yang mampu menawan pelbagai lapisan penonton, TVS kini bersedia mencipta ruang tersendiri. Dari Borneo untuk semua, TVS sedang menulis babak baharu dalam dunia penyiaran Malaysia. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments