Reza beri sepenuh komitment pada karakter watak raja yang digalas | KREDIT FOTO: Pertubuhan Bangsawan Warisan Moraza Negeri Perak |
Oleh: ZULQARNAIN ABU HASSAN
PELAKON Reza Hasbi menyifatkan Bangsawan Beting Beras Basah bukan sekadar pementasan, tapi satu perjalanan rohani yang membuka sisi baharu dalam dirinya sebagai pelakon dan insan.
Watak raja pertama yang digalasnya disifatkan sebagai antara peranan paling mencabar sepanjang karier seninya.
Menurut Reza, karakter itu menuntut penghayatan tinggi terhadap karisma dan kewibawaan seorang raja Melayu berdaulat yang menjadi lambang kedaulatan bangsa.
“Saya perlu memahami budi dan jiwa rakyat zaman dahulu, bukan sekadar melafazkan dialog di atas pentas,” katanya kepada 7Klik.
Reza, 36, memilih pendekatan berbeza dalam persediaan lakonannya dengan berpuasa beberapa hari sebelum pementasan sebagai cara memperkukuh kekuatan dalaman dan rohani.
“Berpuasa membantu saya membersihkan hati serta memberi fokus kepada jiwa dan emosi watak,” katanya.
“Saya berdiri di kawasan makam dan membayangkan bagaimana suasana ketika sumpah itu diucapkan,” katanya.
Lebih menarik, Reza mendedahkan dia pernah mengalami pengalaman mistik selepas beberapa minggu latihan intensif.
“Saya pernah bermimpi seolah-olah berjumpa dengan roh watak bersejarah itu, dan ia memberi kesan mendalam kepada saya,” ujarnya.
Bangsawan Bertemu Teknologi
Pementasan Beting Beras Basah mencipta sejarah apabila menjadi bangsawan pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi projection mapping, menggabungkan elemen moden dan tradisi dalam satu persembahan.
“Gabungan teknologi moden dan nilai tradisi membuktikan seni bangsawan masih hidup dan relevan,” katanya teruja.
Antara babak menarik dalam Beting Beras Basah | KREDIT FOTO: Pertubuhan Bangsawan Warisan Moraza Negeri Perak |
“Saya sangat bersyukur kerana diberi peluang menjadi sebahagian daripada karya bersejarah ini,” tambahnya.
Dalam pada itu, Reza menyeru anak muda agar terus mendukung seni warisan bangsa dan menghargai sejarah Melayu melalui karya teater. Baginya, teater dan bangsawan bukan hanya bentuk hiburan, tetapi juga wadah untuk mengekalkan jati diri serta menyemai rasa cinta terhadap sejarah Melayu.
“Seni bukan sekadar hiburan, tetapi amanah dan tanggungjawab kepada budaya,” tegasnya.
Di tengah arus moden yang sering berubah, usaha seperti ini mengingatkan kita bahawa akar budaya dan sejarah bangsa tetap wajar dipelihara, kerana di situlah lahirnya identiti sebenar seni Melayu. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments