[Nota Kedai Kopi Bandara]
BARANGKALI sengaja atau tidak disengajakan, Talk To My Manager mencari rating dan viral dengan drama air mata setiap artisnya.
Saban minggu kita dihidangkan dengan 'drama' yang boleh dijangka. Kalau tak yang itu menangis, yang ini menangis. Juri, hos, manager dan penonton pun tumpang sekaki menangis. Alahai… sikit sikit sudahlah. Sudah masuk suku akhir pun masih bermodal air mata ke?
Malam Ahad lalu, Amad dan Hadie juga guna 'skrip' yang sama. Maka penonton seperti kami merasakan apa perlunya harus begitu lagi.
Jika Amad kurang sihat atau terganggu emosinya, sementara Hadie terus beriya-iya menyanyi tanpa emosi, kita melihat semua itu bukan sesuatu yang sihat dalam kesinambungan kejayaan program Talk To My Manager.
Selaku manager merangkap ibu bapa, mereka perlu sedar bahawa program sebegini menuntut komitmen yang tinggi. Seperti kata Datuk AC, menjadi artis perlu mental dan fizikal yang kuat. Kalau mudah 'koyak', memanglah tak ke mana nanti. Sudahnya menjadi buah mulut, prasangka, fitnah dan gosip murahan.
Hakikatnya apabila program membabitkan kanak-kanak, inilah risiko yang perlu ditanggung. Lebih-lebih lagi kalau job tengah lebat macam Amad itu. Mesti stress dan terbeban. Mana lagi nak berlatih setiap minggu dengan lagu baharu, soal persekolahan dan aktiviti peribadi terpaksa dibahagikan.
Maka demikian cerita yang akan dihidangkan setiap hari di pentas hiburan dan belakang tabir dunia seni. Anehnya masyarakat kita suka benar dengan drama-drama viral begini.
Pun begitu, bagi saya ia OK pada awalnya. Namun, lama-kelamaan meluat jadinya. Pertaruhkan bakat sahajalah. Drama-drama sebabak itu simpan di rumah dan belakang tabir sahaja.
Dunia seni bukan sekadar perlu viral dan drama aneh-aneh sebegini, ia perlu menyumbang sesuatu yang bermoral dan memberi inspirasi.
Kalau Datuk Seri Siti Nurhaliza boleh bertahan selama tiga dekad sebagai nombor satu dan kini digelar Legenda Muzik Asia Tenggara, apakah yang ingin menjadi artis pelapis harus berada di tahap drama-drama peribadi yang sewajarnya disimpan hanya untuk diri sendiri dan keluarga saja.
Fikir-fikirkanlah ye wahai adik-adik dan cucu sekelian. - 7KLIK
✍️ Nota by Jebat Iskandar
(**Penulisan ini adalah pandangan peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili pendirian 7Klik mahupun mana-mana pihak)
ARTIKEL LAIN:
0 Comments