KAPTEN Batik kini memperkenalkan ruang baharu di Isetan KLCC, sebuah pameran elegan yang menonjolkan bahasa rekaan jenama yang semakin berkembang.
Diinspirasikan daripada konsep 'urban resort', kaunter butik ini dibayangkan sebagai sebuah ruang di mana warisan dan kemodenan saling berpadu menjadi sebuah persinggahan untuk pelanggan di tengah-tengah destinasi membeli-belah paling ikonik di kota raya.
Fasad butik baharu ini menegaskan komitmen Kapten Batik untuk terus meraikan budaya Malaysia melalui rekaan kontemporari.
Setiap elemen di dalamnya dibina dengan ketelitian, daripada sentuhan lembut dan tona semula jadi, hinggalah kepada perincian halus yang menekankan ketukangan, menjadikan ruang ini lebih daripada sekadar titik jualan. Ia sebuah destinasi yang menangkap semangat seni Malaysia dalam gaya hidup moden.
Ketua Operasi Kapten Batik, Mohammad Faizal, berkongsi, matlamat mereka adalah mencipta ruang yang 'bercerita' sebaik sahaja dilintasi sesiapa.
“Ia membawa kehangatan seperti rumah, keanggunan warisan, serta keselesaan suasana santai. Semua kualiti yang ingin kami kaitkan dengan Kapten Batik,” ujarnya.
Koleksi Activewear Polo Eksklusif
Bersempena dengan pelancaran ini, Kapten Batik turut memperkenalkan edisi kedua koleksi Activewear Polo, eksklusif di kaunter butik KLCC.
Koleksi kapsul ini hadir dengan 20 corak baharu yang diinspirasikan daripada kehijauan tropika dan motif warisan tempatan, menjadikan setiap helaian sebagai gabungan alam dan budaya.
Setiap helai direka menggunakan fabrik Repreve, iaitu material berkualiti tinggi yang diperbuat daripada gentian kitar semula, menggabungkan keselesaan, kelestarian, dan fungsi serba guna tanpa mengorbankan gaya.
Activewear Polo menggambarkan falsafah Kapten Batik tentang batik moden dan mentafsir semula motif tradisional dalam rekaan yang praktikal dan kontemporari.
Ringan, beralun, serta moden pada potongan, koleksi polo ini direka khusus untuk pemakai masa kini yang menghargai estetika dan prestasi.
Ketua Kreatif Kapten Batik, Fadli Muhsin, menjelaskan, Activewear Polo adalah jawapan tentang bagaimana batik boleh wujud dalam kehidupan seharian dan bukan sekadar dipakai pada acara tertentu.
"Menerusi koleksi ini, kami gabungkan semangat batik dengan fungsi yang diperlukan untuk kerja, perjalanan, atau gaya santai,” katanya.
Setiap rekaan bukan sekadar produk, tetapi pengalaman yang membawa warisan Malaysia ke dunia moden.
Diasaskan dengan visi mengimaginasikan semula batik Malaysia untuk gaya hidup moden, jenama ini terus mengekalkan fokus pada ketukangan, rekaan kontemporari dan amalan lestari.
Dikenali dengan kolaborasi inovatif serta pendekatan elegan, Kapten Batik membuktikan bahawa batik bukan hanya sebahagian daripada sejarah, tetapi sebuah naratif budaya yang terus hidup dan relevan untuk generasi baharu.
Kaunter butik Kapten Batik dan koleksi Activewear Polo edisi terbaru kini boleh didapati secara eksklusif di Isetan KLCC, Aras 3. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments