NETFLIX menampilkan The Resurrected, sebuah drama thriller gelap berbahasa Mandarin yang dijangka menjadi antara tayangan paling hangat tahun ini.
Dibintangi barisan pelakon ternama termasuk Shu Qi dan Sinje Lee, siri ini membawa penonton menyelami kisah dendam, kebangkitan semula, dan tujuh hari penuh kengerian yang bakal menguji had kemanusiaan.
Trailer utama yang baru dilancarkan membuka ruang kepada misteri menggetarkan jiwa, tragedi tiga anak perempuan yang menjadi mangsa penjenayah licik Chang Shih-kai, seorang banduan hukuman mati yang secara mengejut dihidupkan kembali.
Dari situ, persoalan besar pun timbul tentang jenayah apa yang telah menghancurkan hidup tiga gadis itu, dan sejauh mana seorang ibu sanggup menuntut balas?
Berlatar di kota fiksyen Benkha, Chang Shih-kai (lakonan Fu Meng-po) digambarkan sebagai pemangsa manipulatif yang dijatuhi hukuman mati kerana jenayah kejam melibatkan penderaan, serangan dan pembunuhan terhadap gadis-gadis muda.
Walaupun dia telah dieksekusi, dua ibu mangsa, Wang Hui-chun (Shu Qi) dan Chao Ching (Sinje Lee), tidak pernah puas hati. Bagi mereka, kematian Chang terlalu mudah, terlalu 'damai' untuk seorang yang meninggalkan luka sedalam itu.
Ritual Gelap & Kebangkitan Dendam
Diselubungi rasa tidak adil, kedua-dua ibu ini memilih jalan yang mustahil iaitu sebuah ritual misteri yang pernah mereka saksikan, mampu membangkitkan Chang semula tetapi hanya untuk tujuh hari.
Kali ini, lelaki yang pernah bongkak itu kembali dalam keadaan hina, menjadi lambang pertembungan antara rasa bersalah, wang, dan dendam yang membuak.
Trailer turut memperkenalkan PARADISE, lokasi menyeramkan berupa bangunan usang tempat gadis-gadis yang diculik dikurung, termasuk anak Wang Hui-chun, Chao Ching, dan Huang I-chen (Alyssa Chia).
Dalam kolam renang terbiar, jeritan anak-anak itu bergema meminta tolong. Adegan itu terlalu menyakitkan sehingga pelakon Lin Ting-yi dan Vivi Chen mengakui, “Set penggambaran terasa terlalu realistik, sampai rasa sesak nafas.”
Dalam siri ini, setiap anak membawa kisah memilukan tersendiri. An Chi (Lin Ting-yi), anak I-chen, terselamat tetapi menyimpan rahsia hitam; Jin Jin (Vivi Chen), anak Hui-chun, koma dengan petunjuk penting dalam ingatannya; manakala Hsin-yi (Caitlin Fang), anak Chao Ching, menjadi mangsa paling tragis.
Bagaimana persahabatan tulus antara tiga gadis kecil boleh berakhir dengan kehancuran sebegitu? Inilah misteri yang menjadi nadi utama cerita.
Namun, bagi para ibu, menghidupkan kembali musuh mereka hanyalah permulaan. Sementara dendam pula menjadi ujian paling kejam untuk kekuatan jiwa mereka.
Sepanjang perjalanan, mereka menemui sekutu tidak disangka. Patrick Nattawat Finkler, bintang muda Thai-Jerman yang sedang meningkat naik, membawakan watak Eason, seorang pemuda yang percaya bahawa Chang bertanggungjawab atas kematian neneknya.
Pertemuan dengan Hui-chun di hospital mendorongnya untuk menyertai rancangan dendam itu, menjadi watak penting dalam misi para ibu.
Sementara itu, pelakon Thai Sukollawat Kanaros (Weir) memainkan watak Pong, jiran Hui-chun yang kelihatan biasa tetapi sebenarnya menyimpan banyak rahsia tentang sisi gelap kota Benkha.
The Resurrected dipertontonkan buat kali pertama di kategori On-Screen di Busan International Film Festival tahun ini.
Dihasilkan dengan nilai produksi sinematik, penggambaran rentas negara dan jalan cerita penuh ketegangan, siri ini diyakini bakal menjadi antara drama paling dinanti tahun ini.
Siri ini diarahkan oleh dua nama besar, Leste Chen dan Hsu Chao-jen, manakala barisan pelakonnya pula cukup hebat dengan gabungan bintang berpengalaman dan wajah baharu.
Antara yang terlibat termasuk Shu Qi, Sinje Lee, Fu Meng-po, Chung Hsin-ling, Caitlin Fang, Lin Ting-yi, Liu Chu-ping, Vivi Chen, Rexen Cheng, Patrick Nattawat Finkler dan ramai lagi.
The Resurrected akan ditayangkan secara eksklusif di Netflix pada 9 Oktober 2025.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments