Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Aunim Satukan Fesyen, Teknologi & Hiburan Dalam Acara Penuh Gaya


Oleh: ZULQARNAIN ABU HASSAN | Foto: Yusuf Aswaff

AGENSI model berpengaruh, Aunim buat julung kalinya tampil berkolaborasi dengan Jisulife, jenama global gaya hidup inovatif yang terkenal dengan pelbagai produk praktikal dunia moden.

Pelancaran produk terbaharu jenama itu, kipas mudah alih terkini yang berlangsung di Pavilion Kuala Lumpur baru-baru ini, tampil penuh kelainan dengan gabungan fesyen, hiburan dan kecerdasan buatan kepada peminat serta penggiat industri.

Menurut Aidil selaku pengasas Aunim, acara ini memperlihatkan usaha agensi tersebut dalam mengetengahkan pendekatan moden seiring perkembangan teknologi yang semakin mempengaruhi gaya hidup masyarakat masa kini.

“Ini merupakan program kali pertama Aunim berbentuk teknologi dan ia memberi pengalaman yang baharu dan cukup menarik buat kami," ujarnya ketika dihubungi 7Klik.

Kehadiran selebriti ternama seperti Nabila Razali dan personaliti media sosial popular Azfar Heri menambahkan sentuhan eksklusif pada acara itu, sekali gus mencuri perhatian tetamu yang tidak melepaskan peluang bergambar bersama mereka.

Aunim turut menampilkan barisan modelnya yang penuh pesona, Ezaidi Aziz dan Haneesya untuk mempersembahkan koleksi eksklusif yang digabungkan dengan elemen teknologi baharu, mempamerkan kelainan fesyen moden berinspirasikan inovasi digital terkini.

Acara ini bukan sekadar pertunjukan fesyen, sebaliknya ia menjadi sebuah pengalaman interaktif. Tetamu berpeluang menikmati teknologi canggih seperti paparan visual 3D dan demonstrasi kecerdasan buatan, menjadikan suasana lebih imersif, unik dan sarat elemen kejutan.

Tambah Aidil, agensinya berhasrat menjadikan acara ini sebagai acara tahunan sebagai platform gabungan teknologi dan hiburan bagi mengukuhkan jenama dalam landskap industri kreatif Malaysia.

Rata-rata tetamu memuji keberanian Aunim menganjurkan program bercirikan teknologi dan berbeza daripada biasa. Apatah lagi paduan selebriti ternama dan inovasi baharu dianggap gabungan cukup segar serta menghiburkan.

Kejayaan ini turut didukung oleh pasukan produksi berbakat termasuk Nurjannah Anuar selaku koreografer, dan Joy Hussin (ketua jurusolek) yang memastikan setiap persembahan runway berjalan lancar dan penuh gaya.

Dengan sambutan menggalakkan, Aidil optimis Aunim mampu membuka ruang lebih luas, memacu tren hiburan masa depan, serta mencipta pengalaman baharu yang terus dinanti peminat dan penggiat industri.

“Pertunjukan fesyen ini adalah platform penting untuk bakat model lelaki dan wanita menyerlah di pentas berprestij.

“Kami percaya acara ini akan menjadi pemangkin kepada kolaborasi fesyen Malaysia ke peringkat antarabangsa,” ujar Aidil sambil mengharapkan lebih banyak penyertaan pada edisi mendatang.


Barisan model bersama in house production Aunim models

Sementara itu, wakil Jisulife, Erin menzahirkan pandangan optimis terhadap penganjuran acara itu, khususnya dalam mengangkat fesyen tempatan yang kini semakin berkembang seiring arus teknologi dan kehendak gaya hidup moden.

“Kerjasama dengan Aunim Models membuka dimensi baharu dalam mempamerkan fesyen. Ia bukan sahaja menonjolkan gaya, tetapi juga bagaimana fesyen boleh bersatu dengan inovasi gaya hidup moden,” katanya.

Erin menambah bahawa acara sebegini juga memberi peluang luas kepada bakat baharu, membuktikan model muda tempatan sebenarnya memiliki potensi besar untuk mewarnai pentas fesyen tempatan mahupun antarabangsa.

Gabungan fesyen dan teknologi yang dipamerkan bukan hanya menandakan pencapaian baharu buat Aunim, malah membuka jalan ke arah masa depan industri kreatif yang lebih inovatif.

Ia membuktikan bahawa pentas Malaysia juga mampu bersaing di peringkat antarabangsa, dengan visi untuk menjadikan fesyen sebagai medium yang merentasi gaya, budaya dan teknologi.  - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments