HBO Max secara rasmi mengumumkan penghasilan sebuah siri baharu berjudul Stuart Fails to Save the Universe, spin-off kepada sitkom popular The Big Bang Theory.
Siri komedi ini diterbitkan oleh Chuck Lorre Productions dan Warner Bros. Television, serta diterajui oleh penerbit eksekutif yang pernah menerima pencalonan Emmy, iaitu Chuck Lorre, Zak Penn dan Bill Prady.
Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kandungan HBO dan HBO Max, Casey Bloys berkata, pihaknya teruja dapat meneruskan legasi The Big Bang Theory.
"Sama seperti siri asal, bab baharu ini tidak mungkin terhasil tanpa visi dan kehebatan naratif Chuck Lorre dan Bill Prady, serta Zak Penn yang membawa perspektif segar dan suara unik ke dalam pasukan kreatif yang memang sudah luar biasa,” ujarnya.
Bagi Chuck Lorre, penerbit eksekutif yang juga pencetus The Big Bang Theory, projek ini merupakan satu percubaan berani untuk keluar dari zon selesanya.
“Saya mahu lakukan sesuatu yang radikal dan benar-benar mencabar. Sesuatu yang watak-watak dalam The Big Bang Theory akan suka, benci dan bincangkan panjang lebar,” katanya.
Zak Penn pula menceritakan pengalaman lucunya sebelum terlibat dalam projek itu.
“Saya dalam misi pencarian visi di kawasan paling terpencil di Hutan Hujan Amazon bila seekor burung merpati datang membawa nota daripada Chuck Lorre, tanya kalau saya mahu bantu cipta sebuah siri yang watak-watak dari The Big Bang Theory sendiri akan tonton.
“Saya tak mampu tolak idea itu, jadi saya kemas yurt saya dan tunggu kapal udara terdekat. Pada masa yang sama, Chuck hantar ekspedisi cari Bill Prady, yang katanya beku dalam ais Artik dengan perisai di dada.
"Bila pasukan lengkap, kami terus mulakan kerja gila ni, dalam semesta ciptaan Chuck dan Bill. Saya rasa sangat bertuah dapat bekerja dengan orang-orang hebat ini,” katanya.
Bill Prady turut berkongsi keterujaannya an menyifatkan proses menulis siri ini bersama Chuck dan Zak sebagai cukup menyeronokkan.
"Saya yakin kegembiraan itu akan terasa di skrin. Menggabungkan watak-watak kegemaran kita dari siri itu dalam sebuah naratif fiksyen sains kompleks, lengkap dengan mitologi yang mereka minati sambil mengekalkan unsur komedi, memang sesuatu yang amat memuaskan,” ujarnya.
Stuart Fails to Save the Universe mengisahkan pemilik kedai komik Stuart Bloom secara tidak sengaja memecahkan sebuah alat yang dicipta oleh Sheldon dan Leonard, sekali gus mencetuskan kehancuran multiverse.
Kini, Stuart harus memperbaiki realiti dengan bantuan teman wanitanya, Denise; rakan ahli geologi, Bert; dan ahli fizik kuantum yang suka menyakitkan hati, Barry Kripke.
Sepanjang perjalanan, mereka bertemu versi alternatif watak-watak yang pernah dikenali dan disayangi peminat daripada The Big Bang Theory. Seperti judulnya, misi mereka bukanlah berjalan lancar.
Siri ini menampilkan Kevin Sussman sebagai Stuart, Lauren Lapkus sebagai Denise, Brian Posehn sebagai Bert dan John Ross Bowie sebagai Barry. Ia diterbitkan oleh Chuck Lorre Productions dengan kerjasama Warner Bros. Television, dan diketuai oleh tiga penerbit eksekutif iaitu Chuck Lorre, Zak Penn dan Bill Prady.
Untuk yang belum move on daripada The Big Bang Theory, semua musim siri asal kini boleh distrim di HBO Max. Langgan sekarang di www.hbomax.com . - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments