Hot Posts

6/recent/ticker-posts

13 Wanita Hebat Sumber Inspirasi Dalam Dokumentari Wanita Yang Pertama

| FOTO: RTM

DALAM dunia yang sering kali mencabar peranan wanita, ada yang berani melangkah sebagai perintis. Mereka tidak hanya mencipta nama, tetapi membuka jalan.

Wanita Yang Pertama, dokumentari terbaharu terbitan RTM, akan mengetengahkan kisah mereka menjadi ‘yang pertama’ dalam bidang masing-masing, sama ada di pentas sastera, gelanggang sukan, mahkamah, makmal, atau pentadbiran tertinggi.

Setiap seorang membawa cerita perjuangan, kejayaan, dan inspirasi yang mampu mencetus semangat kepada wanita lain di luar sana. Daripada cabaran peribadi ke kejayaan bertaraf antarabangsa, dokumentari ini menjadi bukti bahawa keberanian untuk menjadi pelopor mampu memberi impak yang melangkaui sempadan diri sendiri.

Antara figura utama dalam dokumentari ini ialah Datuk Dr. Zurinah Hassan, wanita pertama yang diiktiraf sebagai Sasterawan Negara. Episod ini menyelami perjalanan beliau dalam dunia penulisan, peranan sebagai perintis dalam sastera Malaysia, serta impak karya-karyanya terhadap dunia kesusasteraan tanah air.

Turut dikongsikan ialah kisah Anita Yusof, wanita Islam pertama dari Malaysia yang menjelajah dunia secara solo dengan motosikal. Penonton akan dibawa menyusuri kisah zaman kanak-kanaknya, perubahan kerjaya daripada pensyarah kepada pengembara, serta segala persiapan mental dan fizikal menjelang ekspedisi solo beliau. Pengalaman ini bukan sahaja mencabar, malah membuka ruang inspirasi buat ramai wanita Islam untuk lebih berani meneroka dunia.

Kisah inspirasi seterusnya hadir daripada Nenney Shuhaidah, seorang Hakim Mahkamah Syariah yang turut tersenarai dalam senarai BBC 100 Women pada tahun 2018. Dokumentari ini menyingkap perjalanan kerjayanya dalam institusi kehakiman, pencapaian yang membanggakan, serta impiannya untuk meninggalkan legasi bermakna dalam sistem perundangan Syariah negara.

Dalam bidang sukan permotoran pula, muncul Saidatul Zakirah, pelumba wanita yang menempuh cabaran dalam dunia yang lazimnya didominasi lelaki. Penonton akan dibawa mendekati refleksi peribadinya tentang makna kejayaan, pengorbanan yang dilalui, serta usaha berterusannya dalam memartabatkan sukan permotoran Malaysia di mata dunia.

Program ini turut menampilkan Datuk Hajah Faridah Mat Saman, seorang Qariah tersohor tanah air. Episod ini menyentuh kisah keluarganya dalam seni taranum, kepentingan mendalam terhadap al-Quran, serta pengalaman beliau membesarkan sembilan anak dengan penuh dedikasi. Beliau juga berkongsi rahsia dan tip dalam bertaranum, serta perasaan sewaktu menerima gelaran Datuk dan pelbagai anugerah lain atas sumbangannya dalam dunia tilawah dan keagamaan.

Selain itu, dokumentari ini turut menghimpunkan kisah tokoh-tokoh wanita hebat lain yang tidak kurang luar biasanya. Antaranya ialah Siti Rahmah Nasir (bekas atlet Pencak Silat negara), Tan Sri Rafiah Salim (Penolong Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 1997) dan Nusaybah Maszlee (aktivis Pendidikan).

Turut diketengahkan ialah Dr. Masni Mat Dong (tokoh akademik), Dr. Nur Adlyka Ainul Annuar (saintis dalam bidang astronomi), Mejar Jeneral (B) Datuk Dr. Rosidah Ishak (pegawai Angkatan Tentera Malaysia) dan Dr. Siti Juita Mastura Mohd Saleh (juruterbang dron profesional).

Dokumentari ini ditutup dengan kisah inspirasi Dr. Hjh. Azuraida Shahadan, wanita Malaysia pertama yang memperoleh Ph.D. dari California State University. Beliau bukan sahaja aktif dalam kerja-kerja sukarelawan dan penulisan, malah mencipta peranti ‘The Mind Tune’ serta menulis beberapa buku termasuk Panduan Unggul Ubah Hidup dan Healing: Wisdoms From Quran.

Wanita Yang Pertama bakal bersiaran mulai 27 Julai, setiap Ahad, jam 12.30 tengah hari di saluran Okey dan RTMKlik.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan dokumentari penuh inspirasi ini, sebuah penghormatan buat keberanian dan keteguhan wanita Malaysia yang menjadi pelopor dalam sejarah negara. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments