"Mesej khusus untuk golongan wanita dan anak muda" - Adriana Ghafar tampilkan koleksi puisi Everything In Between


NAIB juara Dewi Remaja 2019, Adriana Ghafar, bakal melancarkan koleksi puisi sulungnya berjudul, Everything In Between pada 15 Jun ini.

Kemunculan Adriana atau nama penuhnya Nur Nafissa Adriana Abdul Ghafar dalam dunia sastera merupakan manifestasi visinya untuk mendemokrasikan dan menjadikan puisi sebagai karya yang bersifat lebih inklusif serta dekat dengan semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia, latar belakang atau tahap pendidikan. 

Menurut Adriana, sebelum ini puisi lazimnya dianggap sebagai karya yang sukar difahami, bersifat tradisional dan khusus untuk golongan elit intelektual.

"Persepsi ini menjauhkan golongan pemuisi muda yang baru muncul dan ingin berkongsi karya mereka secara terbuka.

"Diinspirasikan oleh pemuisi-pemuisi kontemporari, saya berhasrat untuk mempopularkan puisi dan membebaskan ia daripada ruang bilik darjah dan golongan elit,” ujarnya.

Karya tersebut digarap bagi menginspirasikan pembacanya untuk memanfaatkan puisi sebagai platform untuk bersuara.

Menerapkan elemen moden, ia mengandungi unsur-unsur interaktif seperti animasi buku selak (flipbook animation) dan realiti terimbuh (augmented reality) bagi menyuntik nafas baharu kepada bentuk karya malar segar ini sekali gus mewujudkan pengalaman membaca puisi yang menarik.

“Everything In Between sebuah gabungan puisi bahasa Melayu dan Inggeris, menyelitkan tema sejagat cinta, keluarga, penolakan, dan kecekalan.

"Karya ini mengandungi mesej khusus untuk golongan wanita dan anak muda yang mencari ketenangan jiwa, inspirasi, dan kekuatan dalam mendepani cabaran hidup.

"Sebagai pejuang tegar hak-hak wanita, puisi-puisi Adriana juga mengangkat tema kesaksamaan gender dan pendayaupayaan wanita," jelasnya.

Dalam pada itu, gadis penuh yang penuh dengan inspirasi itu menyifatkan penerbitan Everything In Between sebagai projek yang dekat di hatinya.

Apatah lagi ia menjadi cerminan intim kepada perjalanan hidupnya yang disampaikan menerusi puisi-puisi dihasilkan dalam tempoh 12 tahun.

"Saya berhasrat untuk memotivasikan dan memperkasa orang lain agar terus kental dalam mengharungi cabaran hidup.

"Di samping itu, saya berharap agar buku ini menyalakan semangat dalam kalangan generasi lebih muda dan golongan yang terpinggir untuk menjadikan puisi sebagai platform penzahiran diri, menjuarai isu-isu yang dekat di hati mereka dan menginspirasi perubahan yang bermakna,” katanya.


Adriana yang sedang membina kerjaya guamannya sebagai pelatih dalam kamar mula mula menulis puisi sejak berada di bangku sekolah lagi.

Penulisannya mendapat inspirasi daripada penulis-penulis ternama dunia seperti Maya Angelou, Sharon Olds dan Emily Dickinson, serta penulis-penulis terkemuka negara seperti A. Samad Said, Khadijah Hashim, dan Bernice Chauly.

Terdahulu Adriana mula mencuri perhatian ramai menerusi penyertaannya dalam program pencarian Dewi Remaja 2019, sebelum menceburi bidang hiburan sebagai pengacara, model, pelakon dan pembaca berita. Wajahnya menjadi rebutan untuk menghiasi jenama-jenama terkemuka seperti Samsung, Wonda Coffee, Enfagrow, Prego dan Oxy.

Istimewa sempena pelancaran, buku Everything In Between akan ditawarkan dengan tiga pilihan kulit buku edisi terhad, yang ditandatangani Adriana sendiri yang dijual pada harga RM48 dan pra-tempahan boleh dibuat menerusi laman web rasmi adthebuku.com tidak lama lagi. - 7KLIK



[FOTO: Terima Kasih Falyn Mustaffa]

Post a Comment

Previous Post Next Post