Festival Puitika Mendayu bakal berkongsi rasa di Pantai Bisikan Bayu


KUTIPAN daripada makna kata dasar nada-nada yang indah, Puitika sebuah siri kembara muzikalisasi puisi yang dicetuskan oleh Meja Poedjangga sejak 2017 bakal meraikan sirinya yang ke-10 sepuluh melalui penganjuran Festival Puitika Mendayu Dalam Pantai Bisikan Bayu.

Bermula dengan sebuah konsert puisi di Istana Budaya, Puitika mempelopori persembahan muzikalisasi puisi terulung dalam negara berkembang menjadi sebuah festival puisi bertaraf antarabangsa.

Bakal berlangsung pada 17 dan 18 Mei ini di Pantai Bisikan Bayu, Pasir Puteh, Kelantan, bermula 10 pagi hingga 9 malam, Puitika Mendayu turut mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui Geran Sokongan Sektor Kebudayaan.

Merupakan sebuah lagi usaha pemerkasaan sastera dan seni budaya serta pendaulatan khazanah negara selain sebagai serampang dua mata yang turut memupuk semangat cintai pantai tempatan dan alam sekitar.

Ia dilakukan melalui jalinan kerjasama dengan Tok Aman Bali Beach Resort (Sri Uda Sdn. Bhd), Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Kelantan melalui program Menata Alam iaitu gotong-royong pesisir Pantai Bisikan Bayu.

Bersesuaian sebagai pengisian dalam Tahun Melawat Kelantan 2024 ke arah sebuah negara berjatidiri dan memiliki kesenian berbahasa unggul yang disampaikan dalam sebuah festival, acara dua hari itu turut dipadatkan dengan pelbagai aktit menarik.

Antaranya termasuklah pameran daripada Persatuan Pelukis Kelantan, Persatuan Layang-Layang Kelantan, selain forum dan bual karya kesusasteraan bersama Rosli K Matari (Sasterawan Negeri Kelantan 2020) dan penerima Tokoh Sastera Kelantan 2022, Leo A.W.S.

Tidak ketinggalan Sayembara Deklamasi Puisi UMK dan Jejak Seni 'Sejarah Pasir Puteh' yang akan dikongsi oleh Penggawa Semerak Dr. Mustafa Ahmad.

Kemuncaknya, Konsert Mendayu mengisi acara menerusi gabungan persembahan deklamasi; monolog, sajak, lagu puisi, tarian dan muzik tradisional.

Persembahan itu akan membariskan tokoh sasterawan dan seniman mapan tanah air yang terdiri daripada Datuk Dr. Lim Swee Tin, Datuk Ramli Sarip, Umar Uzair, Haziq Rosebi, Lin Haslinaz (Deklamator Kebangsaan), Shirley Idris, Nik Fatihah, kumpulan dikir barat Sirat Maharaja dan kumpulan Kesenian Universiti Malaysia Kelantan.

Dalam pada itu, Pesta Wau Bercahaya yang dikemudikan Persatuan Layang-Layang Kelantan pula diadakan pada sebelah malam turut menjadi antara aktiviti tumpuan utama festival yang akan menyaksikan pelbagai jenis wau dan layang-layang bersaiz gergasi akan diterbangkan di pinggir pantai sebagai penutup Festival Mendayu. - 7KLIK 



[FOTO: Meja Poedjangga - Terima kasih Umar Uzair] 

Post a Comment

Previous Post Next Post