Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Kemeriahan Cipta Citra - Hari Puisi Sedunia cetus inspirasi baharu


SESUAI dengan temanya, Cipta Citra, Acara Hari Puisi Sedunia yang berlangsung di Ipoh, Perak pada pada 8 & 9 Mac lalu meriah dengan pelbagai pengisian unik dan menarik.

Seramai 40 delegasi khas dari lima buah negara yang terdiri daripada Malaysia, Singapura, Indonesia, India dan Rusia memulakan acara dengan Kembara Cipta Citra di Stesen Keretapi Kuala Lumpur.

Acara itu turut diraikan Ketua Pegawai Eksekutif KTM Berhad, Datuk Rani Hisham yang seterusnya membuka pentas deklamasi dengan puisi berjudul Jangan Marahkan Kuala Lumpur, sebuah karya tulisan Datuk Dr. Lim Swee Tin.

Cipta Citra anjuran Meja Poedjangga itu turut diusahakan sebagai merayakan Tahun Melawat Perak 2024 berkemuncak di Auditorium Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Perak pada malam 8 Mac.

Program tersebut menyaksikan barisan sasterawan dan seniman beraksi di pentas dengan mendeklamasi puisi serta membuat persembahan yang menghiburkan.

Dibuka dengan perse,bahan puisitari ADA oleh Shirley Idris sebelum penyair muda dari Kashmir, India iaitu Suhail Ibn. Shahnawaz menyampaikan apresiasi kepada negaranya.

Diikuti deklamator terkenal, Lin Haslinaz menyampaikan puisi Ke Arah Mana, hasil nukilannya sendiri dengan adaptasi daripada karya Sani Sudin. Menariknya, persembahan itu mencuri perhatian apabila Lin tampil beraksi dengan anaknya, Aryan Andika yang dilihat sebagai pewaris deklamator cilik negara.


Aktres terkenal, Datin Sofea Jane seterusnya mempesona dengan sebuah monodrama berjudul Saya... Dari Hujung Kota. 

|“Sewaktu diminta untuk tampil pada malam ini, saya ingin memberikan apresiasi kepada guru saya, SN Datuk Nordin Hassan dengan membuat rangkuman skrip yang pernah ditulis olehnya dalam satu naskhah,” ujarnya. |

Sementara itu, Datuk Dr. Lim Swee Tin tampil dengan muzik  Dikir Barat yang melatari persembahannya menyampaikan puisi dan lagu rakyat berjudul Indung-Indung.

Sasterawan Negara, Datuk Dr. Zurinah Hassan dan Polina Pogadaeva dari Rusia juga antara deklamator yang menyuntik kelainan dalam persembahan mereka di pentas.

Kemunculan penyanyi, Datin Alyah turut menarik perhatian apabila tampil menyampaikan lagu Kau Yang Terindah, selain duet Gurindam Jiwa bersama penyair dan penyanyi lagu puisi, Umar Uzair.

Umar turut menyampaikan rangkaian lagu-lagu puisinya yang berjudul Cenderawasih dan Hasrat Sang Enggang yang juga merupakan kemuncak kepada persembahan pada malam itu.


Antara yang menarik juga, Cipta Citra turut diraikan Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya, Datuk Shaharuddin Abu Sohot, yang hadir memberikan sokongan pada acara Forum Ramu Puisi Rencah Sasterawan.

Acara itu menghimpunkan barisan panel yang terdiri daripada Datuk Dr. Lim Swee Tin, Dr. Sastri Bakry (Indonesia) dan Datin Sofea Jane yang berbual seputar arena puisi di Malaysia dan Indonesia, selain perbezaan suasana sastera antara kedua-dua negara serta peranan puisi dalam filem di Taman Rekreasi Gunung Lang.

Penganjuran Cipta Citra adalah dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak, Tourism Perak, Majlis Bandaraya Ipoh dan JKKN Perak. - 7KLIK



[FOTO: Meja Poedjangga - Terima kasih Umar Uzair]

Post a Comment

0 Comments