Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Fauziah Latif hampir tertipu dengan drama peserta ICSYVMY



DISELUBUNGI
dengan kegagalan YonnyBoii mendapatkan penyanyi sebenar sebagai pasangan duetnya di episod tiga, Ratu Lagu Cinta Fauziah Latiff yang menjadi artis jemputan di episod empat turut berada di situasi yang sangat mendebarkan setelah menyingkirkan tiga penyanyi sebenar dalam pusingan pertama dan kedua.

Program hiburan nombor satu di Malaysia, I Can See Your Voice Malaysia Musim 4 (ICSYVMY) yang diadaptasikan daripada program popular Korea Selatan sedang bersiaran untuk musim terbaharunya di TV3, setiap hari Ahad, jam 9 malam di TV3 dan juga strim live di www.tonton.com.my. 

ICSYVMY4 episod 4 yang bersiaran pada hari Ahad yang lepas menyaksikan cabaran Fauziah Latiff sebagai artis jemputan dalam mengenalpasti siapakah penyamar bersuara sumbang. Dia dibantu oleh panel penyiasat tetap, Jihan Muse dan Fad Bocey serta Catriona Ross, Maryam You Narae dan Norman Hakim sebagai penyiasat jemputan.

Para penonton dihiburkan dengan persembahan pembukaan oleh Fauziah Latiff menerusi lagu popularnya berjudul Dia. Pada pusingan pertama dan kedua, Fauziah Latiff membuat kejutan besar kerana silap dalam percaturan dengan menyingkirkan tiga penyanyi sebenar iaitu penyanyi misteri 2 (Nurul Aisyah Farisha), penyanyi misteri 1 (Aiman Shakimi) dan penyanyi misteri 5 (Yulia Kamelia).

Walaupun menyesal dengan pilihannya, Fauziah Latiff tidak lupa untuk memberikan nasihat dan tips kepada ketiga-tiga bakat muda ini yang masih jauh perjalanan dalam mengejar cita-cita mereka.

Memasuki pusingan ketiga, Fauziah Latiff tetap tenang dalam membuat penilaiannya dan tidak terpengaruh dengan kata-kata manis daripada Norman Hakim, Jihan Muse dan Fad Bocey yang mempertahankan penyanyi misteri masing-masing.

Penyanyi misteri 4 iaitu Muhammad Hazil Luqman menjadi pilihan Fauziah Latiff untuk disingkirkan dan terbukti dia ialah seorang penyamar bersuara sumbang.

Hanya tinggal dua orang penyanyi misteri untuk merebut peluang ke pusingan akhir. Antara seorang penjaga boling dan pembantu terapi kanak-kanak autisme, bukti manakah yang lebih menyakinkan Fauziah Latiff bahawa dia ialah seorang penyanyi sebenar?

Walaupun majoriti daripada panel penyiasat menyarankan Fauziah Latiff untuk memilih penyanyi misteri 3 untuk menjadi pasangan duet tetapi Kak Gee tetap dengan pendiriannya.

Penyanyi misteri 3, Muhammad Dzulqarnain, 22 tahun dari Kuantan yang memilih lagu Hazami, Kata untuk persembahannya akhirnya menepati ramalan Fauziah Latiff bahawa dia ialah seorang penyamar bersuara sumbang.

Muhammad Dzulqarnain ialah seorang pelajar pentabiran kesihatan yang ceria dan bersikap optimis. Fauziah Latiff turut mengatakan yang penting ‘enjoy’ dan mendapat pengalaman. 

Sebelum memulakan persembahan, Fauziah Latiff sempat berpesan kepada Mohamad Fadli supaya ‘nyanyi elok-elok tau’ kerana air muka penyanyi misteri ini yang bercerita menjadi faktor Kak Gee untuk memilihnya.

Suasana studio terus bertukar menjadi ceria dengan nyanyian lagu Suka-suka dengan paduan suara Kak Gee dan Mohamad Fadli yang hebat. Malahan Fadli juga berkongsi dia tidak akan tinggalkan kerja untuk membimbing kanak-kanak autisme sekiranya mendapat peluang untuk bergelar penyanyi kerana kerja itu membawa rezeki kepada keluarganya.

Catriona Ross yang juga ibu kepada anak autisme juga memberikan penghargaan atas sumbangan Fadli kepada golongan istimewa ini.

ICSYVMY4 dihoskan oleh Sean LJE dan Shuk Sahar menampilkan Digi Prepaid sebagai penaja utama, Lazada Malaysia sebagai penaja bersama, Hot FM sebagai rakan radio, Oh Bulan, Xtra dan Senang Terhibur sebagai rakan digital. Gunakan #ICSYVMY untuk merancakkan perbualan di laman media sosial.

Jangan ketinggalan untuk menonton ICSYVMY4 pada setiap hari Ahad, 9 malam di TV3. Episod seterusnya akan menampilkan Aina Abdul sebagai artis jemputan manakala Azlee, Wahid dan Mazlan yang popular dengan sitkom Senario sebagai penyiasat jemputan.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini tentang program TV3, layari www.xtra.com.my dan ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram & Twitter di @TV3Malaysia. - 7KLIK




Post a Comment

0 Comments