PENYANYI, penulis lagu dan penerbit muzik Joji akhirnya kembali dengan single baharu berjudul Pixelated Kisses, menandakan kemunculan semula dirinya selepas album terakhir Smithereens yang dilancarkan pada 2022. Album itu pernah melahirkan lagu hit global
Glimpse of Us, yang kini meraih status 2x Platinum oleh RIAA dan pernah menduduki tangga teratas carta Spotify Global 50.
Berbeza dengan kelompok artis yang datang dengan pasukan produksi besar,
Pixelated Kisses sepenuhnya ditulis, diterbitkan dan dirakam sendiri oleh Joji sekali gus membuktikan bakatnya yang serba boleh.
Lagu ini membawa pendengar kembali kepada bunyi asal Joji iaitu minimalis tetapi penuh emosi, dengan vokal lembut yang seolah berbisik dan melodi yang melekat di kepala.
Gabungan vokal minimalis Joji dengan trap beat yang gritty mencipta suasana misterius dan emosional, tepat seperti DNA muziknya yang selalu bermain dengan rasa sunyi dan nostalgia. Ia bukan sekadar lagu, tapi satu bentuk seni tentang kesederhanaan dan rasa sunyi yang Joji selalu pandai ungkapkan tanpa perlu berlebih kata.
Dari YouTube ke Pentas Dunia
Sejak kemunculan sulungnya pada 2017, Joji sudah mengukir nama sebagai antara artis alternatif paling berpengaruh di generasinya.
Dia telah menghasilkan empat album studio yang mendapat pujian pengkritik termasuk
Ballads 1 (2018) dengan lagu hit
Slow Dancing In The Dark yang kini menerima pengiktirafan 5x Platinum, diikuti
Nectar (2020) dan
Smithereens (2022).
Joji bukan sekadar nama di carta tetapi dia juga figura besar di pentas global. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dia juga menjelajah dunia dengan siri konsert besar termasuk
Oblivion Tour dan
Pandemonium Tour pada 2023, meliputi 41 persembahan di arena-arena ternama seperti Madison Square Garden, Barclays Center, Kia Forum, Crypto.com Arena, United Center, Gunnersbury Park di London dan semuanya
sold out.
Dengan
Pixelated Kisses, Joji bukan sahaja menandakan permulaan era baharu dalam muziknya, tetapi juga mengingatkan kita kenapa dunia jatuh cinta dengan kejujuran dan kesunyian yang dibawanya sejak awal.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments