12 Dis 2018

KEKASIH DI KALA MAGHRIB


MENGAJAK penonton berfikir identiti penculik dan pembunuh sebenar, RTM menayangkan telemovie bertajuk Kekasih di Kala Maghrib arahan pelakon Rusdi Ramli pada 15 Disember ini, pukul 3.05 petang di TV1.

Ceritanya tentang Dinda, seorang gadis yatim piatu, pekerja di kedai menjual bunga dan dia diminati oleh Fikri, penyelia barunya. Satu hari mereka berdua pergi menghantar bunga ke rumah pelanggan kedai. 

Dalam perjalanan mereka, kereta Fikri terlanggar Pian yang sedang berjoging di tepi jalan. Pian adalah seorang pelajar yang murung kerana kematian seorang sahabat pelajar kolej sekelas dengannya bernama Farid. 

Sejak dari hari itu, Dinda selalu menerima pesanan sms dan mengadakan ruang chatting di facebook dengan seorang misteri dengan nama Kekasih Maghrib. Malah Dinda juga selalu menerima sejambak bunga ros putih daripada Kekasih Maghribnya. Dinda fikirkan yang Kekasih Maghrib misterinya adalah Fikri kerana dia tahu Fikri gemar bermain dengan facebook dan meminati dirinya. 

Dinda dihubungi Kakasih Maghrib untuk berjumpa di satu tempat. Dinda pergi ke lokasi dan pada waktu yang sama, Fikri juga pergi dengan sejambak ros putih. Setelah mereka bersoal jawab, Dinda mendapati bahawa Fikri bukanlah Kekasih Maghribnya. 

Apabila dia pulang dan melihat komputernya, Dinda mendapat tahu bahawa Kakasih Maghrib memarahi dan menuduhnya curang. Dinda menerima sms dari Kekasih Maghrib yang ingin berjumpa. 

Setelah Dinda mengikuti arah yang Kekasih Maghrib nyatakan, tempatnya adalah pusara Farid. Fikri yang kurang senang, pergi ke rumah Dinda dan mendapati rumahnya berselerak dan Dinda tiada di dalam rumahnya. 

Fikri yang mengesyaki Pian, pergi ke rumahnya dan bertanya kepada nenek Pian. Setelah mendapat cerita, baharulah Fikri tahu keadaan Pian sebenarnya. Lalu mereka membuat laporan polis. 

Pian telah menculik dan mengikat Elina, bekas kekasih Farid dan Dinda, di dalam sebuah rumah lama. Dia tidak puas hati dengan Elina kerana telah menyebabkan kematian Farid, kawan baiknya. Dia juga mengikat Dinda kerana telah curang terhadapnya, selaku Kekasih Maghrib. 

Sebelum Pian sempat bertindak, Fikri dan nenek Pian menerpa masuk dan memegang Pian. Dalam keadaan kelam kabut, pihak polis muncul dan menahan Pian yang mengaku telah juga membunuh arwah emak tirinya dahulu. Ikuti kesudahan konflik ini di TV1.




KEKASIH DI KALA MAGHRIB
Tarikh Siaran: 15 Disember 2018
Hari: Sabtu 
Masa: 3.05 petang
Saluran: TV1  
Pelakon: Ezzaty Abdullah, Zain Saidin, Zaharil Adzim, Miera Liyana, Aman Nasim.  

[KREDIT: RTM]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan