Bukan sekadar tarikh istimewa, majlis penyatuan hati pasangan itu turut bakal mencipta sejarah tersendiri apabila dijadualkan berlangsung di aras 118, Menara Merdeka Maybank.
Pengumuman tersebut dibuat secara langsung menerusi program hiburan MeleTOP yang dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Namie pada malam Selasa.
Dalam siaran berkenaan, pasangan yang sinonim dengan gelaran 'BASS' itu tampil menerusi sebuah klip video khas, memperlihatkan mereka mengenakan busana tradisional serba putih sambil berjalan dan berbalas kata-kata romantis sebelum tarikh pernikahan didedahkan pada penghujung video.
Perkongsian itu sekali gus menjawab persoalan peminat yang selama ini mengikuti rapat perkembangan hubungan mereka, selain menamatkan pelbagai spekulasi mengenai tarikh pasangan tersebut bakal bergelar suami isteri.
Bercerita mengenai persiapan majlis, Syed Saddiq, 34, berkata mereka memilih warna putih sebagai tema utama, diserikan pula dengan konsep Arab Islamik atas permintaan ibu dan bapanya.
"Saya terhutang budi kepada semua yang tidak putus mendoakan dan menyampaikan nasihat. Saya memang baca dan ambil secara serius.
"Kalau boleh memang hendak kahwin lebih awal, tetapi ini yang paling awal kami boleh buat persediaan. Oktober ialah bulan yang kami, termasuk Ayden dan Ara akan memulakan hidup baharu," katanya.
Bukan hanya majlis akad nikah, Syed Saddiq turut mengesahkan mereka akan mengadakan beberapa majlis resepsi sepanjang bulan yang sama.
"Lebih istimewa nikah 10 Oktober, majlis sanding pun pada bulan yang sama melibatkan majlis di Kuala Lumpur, Muar dan Sabah," ujarnya.
Dalam pada itu, Syed Saddiq turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan Menara Merdeka Maybank yang memberikan kebenaran untuk mereka menjadikan lokasi tersebut sebagai tempat berlangsungnya majlis pernikahan.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Menara Merdeka Maybank kerana bagi nikah di sana. Istimewanya, majlis (penikahan) ini bakal menjadi yang pertama diadakan di tingkat 118," katanya.
Turut hadir ketika pengumuman tersebut ialah kedua-dua ibu bapa pasangan berkenaan.
Hubungan Bella dan Syed Saddiq dikatakan mula rapat pada 2025 selepas mereka bekerjasama dalam beberapa projek, sebelum pasangan itu mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu.
Bella, 32, sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga bersama penyanyi dan pelakon Aliff Aziz pada 2016, sebelum bercerai pada 2019. Namun pasangan ini kembali rujuk dalam tempoh edah. Bagaimanapun, perkahwinan mereka berakhir setelah bercerai buat kali kedua pada 13 Jun 2024.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Mohamad Ayden Adrean, 9, dan Ara Adreanna, 6. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments